Kemajuan teknologi yang pesat khususnya dalam bidang komunikasi pada abad ke-21 seiringan dengan tahap kesedaran nilai demokrasi yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat global telah menjadikan isu teknologi komunikasi dan demokrasi sebagai topik perbincangan yang hangat diperkatakan pada masa ini. Ramai di antara kita mempunyai tanggapan positif terhadap senario perkembangan sedemikian dan berkeyakinan bahawa kecanggihan teknologi komunikasi sememangnya berupaya membawa manfaat kepada semua memandangkan teknologi-teknologi ini telah memperluas jaringan perhubungan sesama manusia dan menyediakan pentas kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam perbincangan umum.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pandangan sebegini hanyalah cebisan hakikat yang tidak dapat menerangkan secara menyeluruh hubungan di antara teknologi komunikasi dengan demokrasi kerana peranan yang dimainkan oleh teknologi dalam perkembangan demokrasi bukan sahaja dinilai dari segi kepelbagaian jenis dan keleluasaan penggunaannya, tetepi turut mengambil kira pengaruh aspek politik, ekonomi serta sosial ke atasnya.
Menurut Marzuki Mohamad (2008), teknologi komunikasi berkait rapat dengan pemeluasan ruang masyarakat sivil dan pemugaran demokrasi. Habermas melihat perkembangan komunikasi di zaman pasca-renaissance di Eropah sebagai sebahagian daripada kemunculan masyarakat sivil di mana golongan kelas menengah menggunakan media untuk menyuarakan pandangan mereka.
Menurut Tan Sri Pandikar Amin Mulia (2009), terdapat negara pada mulanya mengamalkan demokrasi dan selepas itu berlaku rampasan kuasa, membuat lagi perlembagaan baru, demokrasi balik serta rampasan kuasa balik. Akan tetapi, beliau juga menyatakan setakat ini Malaysia dapat mempertahankannya kecuali semasa peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Baginya amalan demokrasi masih dapat bertahan sehingga sekarang walaupun ada yang berkata kebelakangan ini berlaku kekalutan. Tetapi kenyataannya institusi Parlimen ini masih teguh bertahan.
Sesebuah pemerintahan sama ada baik atau buruk amat memerlukan sokongan dan penglibatan daripada rakyat. Sejak kemerdekaan negara kita pada 53 tahun yang lalu, negara kita telah mengamalkan sistem demokrasi. Demokrasi mula dianuti oleh orang Yunani di Athens. Perkataan ‘demokrasi’ berasal daripada perkataan Yunani ‘demokratia’, ‘demo’ bermaksud rakyat, manakala ‘kratia’ bermaksud perintah. Oleh itu, demokrasi bermaksud kuasa pemerintahan di tangan rakyat, di mana rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan pemerintahan melalui pilihan raya umum.
Menurut persepsi Abraham Lincoln, salah seorang presiden Amerika Syarikat tentang fahaman ini ialah ‘pemerintahan daripada rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat’. Antara negara yang mengamalkan kerajaan demokratik ialah Malaysia, Singapura, Kanada, Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia. Oleh sebab rakyat memainkan peranan yang penting dalam sistem demokrasi, salah satu ciri kerajaan demokrasi ialah rakyat menikmati kebebasan persamaan dan hak-hak asasi. Rakyat juga dikatakan mempunyai kebebasan bersuara. Segala pemikiran dan pendapat daripada rakyat akan menentukan kejayaan program-program atau rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Dengan perkembangan teknologi komunikasi, rakyat dikatakan mempunyai lebih peluang untuk menyatakan atau menyuarakan isi hati dan pendapat melalui saluran seperti blog, internet dan lain-lain lagi. Malahan, ‘facebook satu Malaysia’ telah diwujudkan untuk tujuan tersebut. Tetapi, pada realitinya, adakah keadaan bertambah baik atau masih sama? Persoalan ini akan dijawab dalam segment yang seterusnya.
Pandangan Optimis
Menurut optimis, perkembangan teknologi memberi kebaikan kepada sistem demokrasi sesebuah negara kerana ia dapat meningkatkan penglibatan rakyat dalam proses demokrasi tersebut. Hal ini kerana kemajuan dalam teknologi komunikasi telah membawa kepada peningkatan penggunaan internet, telefon mudahalih dan sambungan tanpa wayar yang juga disebut sebagai media baru memudahkan penyaluran maklumat secara cepat dan bebas.Rakyat bebas untuk terlibat dan memberi pandangan dalam proses demokrasi melalui blog-blog yang semakin bercambah pada masa kini. Penggunaan ICT secara aktif dipercayai dapat menwujudkan warga yang bermaklumat dan berpengetahuan serta ruang penyertaan yang luas dalam proses politik seperti yang dianjurkan oleh prinsip demokrasi.
Sebagai contohnya, kita boleh mencipta weblog peribadi, terlibat dala forum, email, video conferencing dan sebagainya. Melalui medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat dalam perbincangan politik secara aktif. Media baru ini sangat penting dalam proses demokrasi di mana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan dari sesiapa pun. Melalui internet, masyarakat dapat mengetahui pelbagai maklumat tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu.
Dalam melangkah ke era refomasi, internet dijadikan media yang paling efektif dalam gerakan refomasi. Berita-berita politik dapat disebarkan tanpa ada batasan. Secara umum, penggunaan teknoogi dapat mengubah perilaku individu dan sosial masyarat terutama bagi mereka yang memiliki infrastruktur internet yang tinggi. Meurut Bijkar ( 1987), evolusi fungsian internet menjadi media demokrasi yang mana dapat difahami melalui teori kontrak sosial teknologi ( Social Construction Of Technology ).
Selain itu, teknologi komunikasi seperti internet dikatakan tiada sekatan. Segala maklumat boleh diperolehi dengan mudah dengan hanya menggunakan hujung jari.
Teknologi komunikasi juga dikatakan boleh memberi ruang yang cukup kepada semua orang. Rakyat secara tidak langsung dapat meningkatkan penyertaan mereka dalam proses pengubalan undang-undang, dasar awam dan proses eksekutif kerajaan dengan mengambil bahagian dalam kaji selidik pendapat umum, perbahasan, forum, perundingan, blog lobi kumpulan pendesak dan pada masa yang sama terdedah kepada maklumat dan pengakuan pakar yang dikemukakan melalui teknologi maklumat.
Menurut Ithiel De Sola Pool, teknologi komunikasi juga berpotensi membawa demokrasi melalui interaksi, kebebasan bersuara, menyatakan pendapat dan idea melalui internet. Internet menyediakan pelbagai pilihan yang meluas mengenai isu global.Di samping itu, maklumat juga boleh diperolehi dengan pantas dan peluang untuk memilih saluran yang digemari mengikut citarasa masing-masing. Kita boleh memilih apa jua informasi tanpa kawalan autoriti.
Selain itu, Yoneji Masuda percaya bahawa revolusi teknologi komunikasi berkomputer mampu menyelesaikan halangan terhadap penyertaan rakyat dalam proses demokratik. Ini kerana teknologi kounikasi berpotensi membawa demokrasi menerusi interactivity, universality, high speed, channel capacity dan content variety. Interactivity bermaksud kebebasan bersuara, meyuarakan pendapat atau idea menerusi komputer. Oleh itu dikatakan rakyat boleh menggunakan komputer sebagai alat perantaraan untuk menyuaakan ketidakpuasan terhadap sesuatu isu kepada kerajaan.
Universality pula bermaksud pengguna mempunyai pilihan yang pelbagai dan meluas termasuklah mendapat informasi global. Ini bermaksud pengguna mempunyai pelbagai pilihan dalam penggunaan alat teknologi contohnya faksimili dan email. Manakala kedatangan internet pula membolehkan pengguna memdapat informasi mengenai dunia. High speed pula merupakan kepantasan perolehan maklumat iaitu pengguan boleh mendapatkan maklumat denagn cepat. Manakala channel capacity pula membplehkan pengguna memilih informasi yang pelbagai. Seterusnya content variety pula merupakan kebebasan memilih mengikut citarasa dan memenuhi kehendak mereka.
Falsafah dan kepercayaan yang dominan dari negara maju ini telah berjaya mempengaruhi pemikiran pemimpin-pemimpin negara membangun termasuklah Malaysia. Teknologi komunikasi baru seperti komputer dilihat satu cara untuk mengubah corak hidup masyarakat dan memperbaiki keadaan rakyat. Oleh itu Malaysia dilihat berusaha membangunkan dan menyediakan kelengkapan komputer disekolah, IPTA, IPTS , pejabat dan sebagainya.
Pandangan Pesimis
Golongan pesimis merupakan golongan yang sering mempersoalkan idea teknologi komunikasi, menolak andaian yang bersifat mitos, tidak benar dan merasakan tidak wujud fenomena tersebut. Sebagai contoh, sarjana Schiller dan Hermelink mengambil pendekatan yang paling realis bagi melihat berdasarkan kepada reality masyarakat. Ini kerana, bagi golongan pesimis beranggapan bahawa masayarakat adalah buka homogen iaitu setiap masyarakat adalah berbeza-beza. Contohnye seperti citarasa. Setiap masyarakat mempunyai citarasa masing-masing.
Merujuk kepada nilai teknologi komunikasi dalam konteks demokrasi ialah untuk mencapai sesuatu demokrasi dalam sesebuah negara seperti Malaysia adalah dengan melihat betapa pentingnya peranan media massa dalam sesebuah masyarakat. Ini kerana, media massa mengikut pandangan ini tidak semestinya mempunyai keupayaan sepenuhnya dalam memainkan perana pentingnya itu, lebih-lebih lagi dalam sesebuah masyarakat yang menganuti sistem ekonomi kapitalis seperti Negara Malaysia. Ini disebabkan wujudnya halangan-halangan tertentu dalam sesebuah masyarakat yang boleh merumitkan perjalanan media tadi. Halangan ini merupakan faktor-faktor seperti pemilikan dan kawalan, elemen komesial dan pengiklanan dalam organisasi media, hubungan antara media dan pemerintah, dan kewujudan kebanyakkan media di kawasan bandar.
Berkenaan dengan faktor kawalan dan pemilikan terhadap media, seperti yang kita tahu, di Malaysia mempunyai pelbagai halangan bagi masyarakat dalam menyuarakan pendapat mereka. Ini kerana, terdapat sistem kawalan dan pemilikan yang telah dilakukan oleh pihak yang berkuasa, seperti kerajaan. Di Malaysia, pihak kerajaan yeng telah mengawal pelbagai saluran media yang terdapat di negara ini. Dengan ini, apabila berlakunya pembantahan terhadap pemerintah seperti kerajaan, media tidak akan siarkan pendapat tersebut. Golongan pemilik ini mengadakan kawalan secara lansung ataupun tidak langsung. Di Malaysia juga, pemilikan dan kawalan terhadap media mainstream lazimnya melibatkan kumpulan yang berkait rapat dengan parti pemerintah, seperti yang dinyatakan diatas tadi. Hubungan seperti ini boleh dan telah mendatangkan implikasi yang amat besar terhadap perkembangan dan penjalanan media tempatan.
Dari segi komesial dan pengiklanan pula, seperti yang kita tahu, elemen ini boleh menjejaskan cara dan pola pemberitaan dalam media cetak. Ini disebabkan adalah faktor keuntungan melalui pegiklanan yang boleh mempengaruhi fokus atau agenda sesebuah organisasi berita. Contohnya, dalam mengaut keuntungan ia boleh menyebabkan secara sedar atau tidak sedar memikirkan tentang kumpulan pembaca yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi (Hardey 1982). Kesanya ialah kepada golongan minoriti yang tidak bernasib baik atau kurang mendapat perhatian media massa. Golongan minoriti ini tidak dapat maklumat yang mana seperti golongan-golongan yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Dengan ini ia menunjukkan bahawa penyebaran maklumat adalah tidak sampai kepada segenap masyarakat.
Mengenai dengan faktor hubungan media dan pemerintah pula, ia boleh dalam keadaaan yang tertentu. Ia telah membuahkan satu suasana yang merumitkan, iaitu peranan media dalam pembanggunan masyarakat yang bersistem demografi. Melalui cara-cara tertentu, pemerintah boleh mempengaruhi tindak tanduk media yang mungkin bukan sahaja bercanggah dengan falsafah dan objektif media tersebut. Akan tetapi, media juga berlawanan dengan kepentingan individu atau kumpulan bukan pemerintah seperti golongan tertindas, miskin, kurang suara dan sebagainya.
Dalam konteks Malaysia, falsafah dan objektif media ini boleh diselarikan dengan kehendak dan keperluan pemeritah dan golongan pemodal memandangkan media tempatan pada keseluruhanya dimiliki oleh golongan yang rapat dengan pemerintah. Dasar-dasar pemerintah seperti dasar ekonomi baru dan dasar penswastaan boleh dan telah mempengaruhi perjalanan media dan bentuk pemberitaan, iaitu ini membuatkan media member penumpuan yang lebih kepada isu-isu yang berkaitan dengan golongan pemodal dan yang mempunyai kuasa membeli. Media ini juga boleh tunduk sedikit sebanyak kepada kehendak pemerintah terutama sekali apabila Hegemoni pemerintah tergugat.
Keadaan sepeti inilah yang menyebabkan Stuart Hall (1986), misalnya melafazkan kekhuatiran dan kebimbangannya tentang perana media dan corak pemberitaannya sepertimana yang telah dinyatakannya pada permulaan tadi, iaitu ada golongan dalam masyarakat yang mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu, manakala ada golongan lain yang selalu diletakkan di pinggiran media dan masyarakat. Dari aspek golongan minoriti pula, golongan seperti orang cacat kadangkala tidak di beri peluang untuk menyuarakan pendapat mereka. Ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan pihak-pihak tertentu terhadap golongan-golongan ini, oleh itu, golongan minoriti ini dianggap golongan yang akan menerima sahaja pendapat yang diberikan.
Ini adalah bertentangan daripada pandangan pesimis yang menyatakan bahawa masyarakat adalah homogeny iaitu mempunyai pendapat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Jadi, golongan-golongan ini kadangkala tidak diberi penglibatan dalam membuat keputusan mengenai demokrasi di Malaysia.
Sebagai kesimpulan, dengan perkembangan teknologi komunikasi, sememangnya rakyat mempunyai lebih ruang untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi iaitu mempunyai lebih banyak saluran pilihan untuk menyatakan pendapat. Walau bagaimanapun, rakyat masih tiada kebebasan yang sepenuhnya dalam penggunaan peralatan teknologi untuk tujuan bersuara iaitu dibataskan oleh akta-akta tertentu yang menyekat sebarang perkara yang sensitif. Hal ini menyebabkan penglibatan rakyat dalam proses demokrasi masih terhad walaupun adanya perkembangan teknologi komunikasi.