Thursday, February 18, 2010


Dewasa ini perkembangan dan kemajuan teknologi informasi dan komunikasi telah berkembang dengan sangat pesat. Berbagai informasi dan kemudahan mudah diperoleh dari perbagai penjuru dunia. Pada Zaman Batu, teknologi informasi dan komunikasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak mungkin, tetapi kini ia telah menjadi satu kenyataan. Dengan adanya teknologi yang luas dan tanpa sempadan ini, kita harus menggunakannya dan memanfaatkannya dengan baik, khususnya dalam dunia pendidikan.

Sistem Pendidikan di Malaysia telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa iaitu Zaman Pramerdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka (1957-1970),Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara dari tahun 2001 sehingga sekarang.

Teknologi pendidikan atau teknologi pengajaran merupakan satu proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta bentuk, menilai dan mengurus penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah bermatlamat terkawal. Teknologi pengajaran juga boleh bermaksud sebagai alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di samping guru, buku teks dan papan hitam.
Secara mudahnya, teknologi pendidikan merujuk kepada proses pengajaran atau alatan yang dapat membantu guru ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Teknologi boleh jadi objek kebendaan seperti mesin atau perkakasan, tetapi ia juga boleh merangkumi maksud yang lebih luas, termasuk sistem, kaedah penyusunan, dan teknik.

Dalam menaikan taraf dalam sektor pendidikan di Malaysia, kerajaan telah menjalankan beberapa aktiviti dalam sektor tersebut, Sejak Rancangan Malaysia Kedua (1971 hingga 1975), Malaysia telah melaksanakan dasar pembangunan ke arah pembasmian kemiskinan dan pengurangan polarisasi sosio ekonomi khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar (Malaysia, 1971). Berdasarkan prinsip ini pelbagai usaha dijalankan untuk terus mendidik masyarakat bukan sahaja secara formal untuk generasi muda tetapi juga secara tidak formal dalam kalangan generasi dewasa. Pendidikan membolehkan setiap individu menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya mampu mengatasi ranjau dan rintangan-rintangan kehidupan.

Usaha kerajaan yang begitu gigih untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dapat dilihat menerusi pembentukan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, wilayah dan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk faedah rakyat. Tidak dapat disangkal kebenaran bahawa sebarang kejayaan dalam pembangunan dikalangan masyarakat adalah hasil daripada usaha-usaha kerajaan yang telah mempertingkatkan taraf hidup rakyat melalui pencapaian dalam bidang pendidikan, kesihatan, perindustrian, dan sebagainya. Buktinya, sepanjang tempoh dua setengah dekad semenjak tahun 1970, Malaysia telah mencapai kemajuan yang membanggakan dari segi pertumbuhan ekonomi sekaligus dapat memenuhi objektif sosialnya (Malaysia, 1999:4-5).

Dalam aspek pendidikan, Malaysia telah menyediakan sejumlah peruntukan yang besar untuk membangunkan tahap pendidikan pelajar di kawasan luar bandar khususnya di negeri-negeri tertentu. Di Kelantan misalnya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menerima peruntukan kira-kira RM54.6 juta daripada Kerajaan Pusat sepanjang tahun 2007 untuk diagihkan kepada lebih 170,000 murid dan pelajar miskin di seluruh negeri. Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.8 juta diagihkan bagi membantu 134,000 pelajar sekolah menengah yang dikategorikan miskin menerusi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sejak Januari lalu sehingga kini. Selain itu peruntukan berkenaan turut diagihkan bagi membantu 71,785 murid miskin Tahun 4, 5 dan 6 bagi mengikuti kelas tambahan menerusi skim baucer tuisyen. JPN turut menyenaraikan seramai 38,000lagi murid miskin dari seluruh negeri yang diberi dua lagi skim bantuan iaitu Rancangan Makanan Tambahan Sekolah Rendah (RMTSR) bernilai RM7 juta serta Program Susu Sekolah bernilai RM3.8 juta

Justeru, mantan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil inisiatif yang tersendiri dengan mengumumkan tujuh langkah “lonjakan perdana pendidikan luar bandar” bertujuan bagi mengurangkan jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar. Antara tujuh lonjakan tersebut ialah memantapkan perkhidmatan prasekolah di luar bandar dengan membina lebih 2,400 kelas yang akan memberi faedah kepada hampir 61,000 kanak-kanak di seluruh negara serta penyediaan latihan guru prasekolah dan kemudahan komputer di kebanyakan sekolah luar bandar. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga, telah memberi fokus dalam usaha bagi merapatkan jurang pendidikan.

Agenda merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar adalah penting kerana melibatkan jumlah sekolah yang besar iaitu sebanyak 5077 buah sekolah daripada 7513 buah sekolah rendah dan 792 dari 2045 sekolah menengah di kawasan luar bandar. Memandangkan pentingnya pembangunan pendidikan luar bandar, KPM telah bekerjasama dengan National Implementation Task Force (NITF) untuk menambah baik serta mendapat peruntukan tambahan di bawah Projek Berimpak Tinggi NITF.

Tambahan sebanyak RM2.6 bilion telah diperuntukkan di bawah Projek Berimpak Tinggi untuk merapatkan jurang pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Pembangunan infrastruktur ini dijangka akan memberi manfaat kepada 2.2 juta pelajar dan 14,000 guru di kawasan pedalaman (Kementerian Pendidikan Malaysia , 2007). Justeru, penekanan dalam aspek pendidikan sentiasa dititikberat memandangkan pendidikan mampu mengubah taraf hidup sesebuah masyarakat itu.
Selain daripada itu, Kementerian Pelajaran diperuntukkan RM31 bilion untuk menyediakan pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Sejumlah RM1.6 bilion disediakan bagi membiayai perluasan program sedia ada, iaitu pertambahan perjawatan berikutan pembukaan 26 sekolah rendah dan 41 sekolah menengah yang baru dan pertambahan perbelanjaan untuk penyelenggaraan, bantuan makanan, biasiswa, geran perkapita dan peralatan baru. Sejumlah 110 sekolah rendah dan 181 sekolah menengah baru akan dibina bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah dan menggantikan sekolah-sekolah yang telah usang. Di samping itu, RM615 juta disediakan untuk penyelenggaraan sekolah dan asrama bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih dan selamat. Peruntukan penyelenggaraan ini tidak boleh dipindahkan bagi tujuan lain. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, RM8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, RM627 juta kepada politeknik dan kolej komuniti serta RM37 juta kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti serta menyediakan latihan menyediakan latihan penyelidikan.

Penggunaan teknologi merupakan satu isu yang amat penting dibincangkan dalam pendidikan masakini. Jika suatu ketika dahulu pendidik lebih banyak bergantung kepada bahan yang diambil daripada buku teks, akhbar, majalah, buku rujukan dan pelbagai bahan bercetak untuk membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran tetapi kini kedatangan teknologi telah merubah teknik pengajaran dan pembelajaran dalam system pendidikan di negara kita. Jika hendak dibandingkan dengan perkembangan penggunaan teknologi komunikasi dalam pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan England ternyata penggunaan teknologi komunikasi di Malaysia baru berumur setahun jagung. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh BECTA (British Educational Communications and Technology Agency), teknologi komunikasi telah digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di England sejak 30 tahun yang lalu. Manakala di Malaysia, penggunaan teknologi komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak beberapa tahun yang lalu. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan dengan penggunaan teknologi komunikasi dalam sistem pendidikan di Malaysia sedikit sebanyak telah meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

Menurut Hansen V.P dan Zweng M.J (1984), dalam usaha menjadikan proses mengajar lebih efektif, dua konsep penting yang perlu ditekankan ialah menitik beratkan tentang konsep kelas sebagai proses yang menyeronokkan dan konsep pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Sehubungan dengan itu pengunaan teknologi-teknologi yang relevan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu mempertingkatkan kefahaman pelajar dari segi pencapaian akademik (Burton L. dan Jaworski B., 1995). Contohnya teknologi komputer dapat mempengaruhi kehidupan pelajar kerana ia dapat memperkembangkan minda pelajar untuk menjadi lebih kritis,kreatif serta lebih inovatif.


Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan ‘hands on’ dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat mengikut kapasiti masing-masing. Pengenalan kepada teknologi komunikasi telah membawa kepada sikap yang positif di kalangan pelajar. Ini kerana teknologi komunikasi menyediakan peluang yang luas dalam aktiviti pembelajaran berbanding dengan kaedah tradisional. Melalui penggunaan internet pelajar boleh menimba ilmu pengetahuan serta contoh-contoh yang praktikal.

Kemudahan hipermedia dan multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya menggunakan kaedah tradisional. Teknologi komunikasi menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif selain daripada menerima ilmu secara sehala sahaja. Sebagai contoh, kepentingan penggunaan teknologi dalarn pendidikan literasi Bahasa Melayu dewasa ini tidak dapat disangkal lagi. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi atau sesuatu alat bantu mengajar dalam bahasa sememangnya dapat membantu pencapaian pelajar menguasai aspek bahasa dengan lebih baik ( Dowling (1999), Giesert & Futrell (1990) dalam Mahzan Arshad, (2003).

Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa teknologi memberikan kesan yang signifikan terhadap pencapaian pelajar dalam penulisan, pembacaan dan penuturan, selain membantu pelajar memperoleh maklumat dengan lebih berkesan. lni kerana kesan daripada pemerolehan maklumat menerusi deria penglihatan adalah peratusan yang terbesar berbanding menerusi cara yang lain, iaitu 83 peratus dari jumlah semua deria yang digunakan. Hanya 11 peratus maklumat yang diberi dapat dicerap atau diterima pelajar apabila guru hanya menggunakan teknik syarahan sahaja. lni menunjukkan teknologi membantu merangsangkan semua deria pelajar, terutama deria penglihatan di mana kesannya lebih tinggi dalam proses pembelajaran berbanding lain-lain deria.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Sandholtz, 1997 (dalam Noraein Mansor, 1999), penggunaan teknologi di sekolah boleh mendorong memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Menurut beliau lagi, penggunaan komputer telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan. Heinich, 1993 (dalam Noraien Mansor, 1999) juga menjelaskan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik persembahan pengajaran. Malah, David Dwyer, 1996 (dalam Noraien Mansor, 1999) dalam kajiannya melaporkan bahawa teknologi merupakan media penggerak untuk pelajar berfikir dan bermuafakat. Malah penggunaan teknologi yang cekap dapat meningkatkan prestasi akademik pelajar dan menyokong pencapaian pembelajaran dalam abad ke 21.

Ini bermakna perkembangan teknologi komunikasi telah dapat mempengaruhi perkembangan mutu pengajaran dan pembelajaran dengan ciptaan peralatan serta perisian komputer yang canggih. Hanya melalui pendidikan, perbezaan jurang digital antara kaum dapat dikurangkan. Kebanyakan kajian yang dijalankan bagi menilai persepsi pelajar dan guru terhadap penggunaan komputer di sekolah dan institusi pengajian tinggi, menerima maklumbalas yang positif. Rata-rata golongan pelajar dan guru mengakui penggunaan komputer membantu meningkatkan taraf hidup (Ahmad Bakeri Abu Bakar, 2003) prestasi kerja, pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan komputer yang meluas serta perkembangan teknologi komunikasi hari ini banyak memberikan manfaat kepada para pendidik seperti mempelbagaikan bahan bantu mengajar (BBM), menyediakan Rancangan Pengajaran, merekod dan menyimpan maklumat pelajar, memproses markah ujian/peperiksaan, membuat semakan stok dan inventori peralatan/buku/BBM dan banyak lagi. Senario ini telah menimbulkan implikasi kepada pelaksanaannya di berbagai peringkat.

Proses pengajaran-pembelajaran dapat dipertingkatkan mutunya dan dipelbagaikan penyampaian dan penerimaannya melalui beberapa teknik seperti melalui sistem rangkaian (networking), perisian pangkalan data atau maklumat atau melalui sistem internet. Penggunaan alat bantu mengajar ini dikatakan dapat meningkatkan minat serta meransangkan minda pelajar di zaman siber ini dan telah dianggap dan diakui sebagai pemangkin proses pengajaran dan pembelajaran. Sebelum meneruskan perbincangan mengenai tajuk di atas ingin kami menarik perhatian mengenai teknik-teknik pembelajaran terkini seperti Project Based Learning, Interactive Learning, Hands-on Component, Access to Scientist, dan Virtual Reality seperti yang terdapat di Iowa State University. Peralatan dan perkakasan seperti CD-ROM Publishing, Assistive Technologies for Students with Disabilities, Electronic Whiteboard, Smart Board, Library Automation, Videoconferencing dan banyak lagi.
Semua ini adalah contoh-contoh yang melibatkan penggunaan teknologi canggih. Persoalannya apakah ia mampu dilaksanakan di Malaysia.

Untuk membolehkan penguasaan teknologi di dalam bidang pendidikan di Malaysia mencapai tahap mutu pendidikan setaraf dengan nagara maju memerlukan usaha yang berterusan oleh semua pihak. Pengetahuan dalam komputer adalah sesuatu yang mesti bagi semua pendidik di peringkat rendah dan menengah di Malaysia (Harper, Denis Owen, 1984). Apa juga permasalahannya kita perlu terima kerana ini adalah keperluan pendidikan dunia pada masa kini. Oleh yang demikian bagi menyempurnakan misi pendidikan untuk setaraf dengan negara maju maka kita perlu memastikan bahawa kita yakin dan boleh melakukannya.

Sebagai contoh setiap pensyarah perlu mengetahui ilmu berkaitan teknologi canggih samada secara persendirian atau melalui penajaan oleh kerajaan atau pihak swasta. Pensyarah perlu mahir dan menguasai teknologi yang digunapakai dalam pendidikan seperti “Project Based Learning. Melalui program ini, pengguna-pengguna seluruh dunia boleh mengakses laman ini secara online dan mereka boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman terkini sekaligus boleh meningkatkan mutu pendidikan di negara ini. Selain itu, pensyarah dan pelajar mahir menggunakan perisian dan perkakasan komputer di tahap yang terbaik. Analoginya mudah walaupun kita mempunyai kapal terbang paling canggih dan paling besar tetapi malangnya ketiadaan pemandu yang dapat mengendalikan pesawat itu dengan selamat dan selesa maka hasilnya tidak membawa apa-apa faedah melainkan kerugian harta benda negara. Buat masa ini masih didapati kesukaran untuk mengakses maklumat daripada laman-laman web dari Malaysia berbanding dengan negara lain yang setaraf khusus berkaitan pendidikan. Pada pandangan kami, ini berpunca daripada kurangnyanya profesional yang berupaya menyediakan tapak tersebut serta kandungannya lanjutan daripada kekurangan dalam modal insan.


Berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat, CAST telah mendapati pelajar yang mencapai Internet mampu menghasilkan projek sekolah yang lebih baik berbanding dengan para pelajar yang tidak memiliki Internet (Jamaludin Badusah et al. 2000). Ini membuktikan peranan Internet dalam pendidikan adalah sangat besar. Sesungguhnya, Internet berupaya mengangkat kemampuan dan kecermelangan para pelajar dalam pelajaran dan pembelajaran pelajar di Malaysia sekaligus meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

Kini pendidikan adalah isu global yang perlu diberi perhatian memandangkan kepentingannya membawa Malaysia ke arah pencapaian yang lebih cermelang. Untuk membekalkan kualiti pendidikan yang bertaraf antarabangsa demi melahirkan generasi baru yang bersifat inovasi, berfikiran saintifik serta berupaya berinteraksi secara efektif melalui teknologi-teknologi terbaru, khususnya Internet, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu sentiasa bertindak balas positif terhadap pembangunan teknologi terutama dalam pembinaan struktur pengajaran. Keperluan kepada penggunaan teknologi pendidikan berasaskan internet jelas menggambarkan betapa pentingnya pemelajaran elektronik dalam pendidikan kerana hal ni berperanan mentranformasikan Malaysia menjadi negara maju yang berorientasikan teknologi maklumat dan komunikasi.

Di Malaysia, bagi mewujudkan sebuah negara yang berasaskan teknologi maklumat dan selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai hasrat Wawasan 2020, para guru di negara ini haruslah peka terhadap penggunaan Internet, terutama untuk pengajaran dan pembelajaran. Menurut Weiss (2001) di dalam Nor Hazidah (2005) pula, penggunaan komputer dan Internet mampu mengubah banyak aspek penting dalam bidang pendidikan. Guru merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mengendalikan komputer dan melayari Internet. Oleh itu, mencari kaedah pembelajaran berkesan sering menjadi isu penting dalam bidang pendidikan.
Kini, mutu pendidikan di Malaysia bertambah baik dengan adanya teknologi bagi memudahkan para pendidik melakukan tugasan mereka agar memberi perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Malah, dalam bidang pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan alat pengupaya yang membolehkan pendidik memperolehi dan berkongsi maklumat, berkomunikasi dengan pantas tanpa batasan serta mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Kerjaya sebagai seorang guru pada zaman digital ini telah berubah mengikut keperluan semasa di mana teknologi maklumat dan komunikasi diintegrasikan dalam program latihan perguruan dan juga institusi-institusi pendidikan. Teknologi computer digunakan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan komunikasi dalam kalangan guru.


Rujukan:

http://rismatp09.blogspot.com/
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/kebaikan_internet.htm
http://mukhlisdwisaputra.blogspot.com/search/label/Pendidikan
http://eko13.wordpress.com/2008/04/12/potensi-teknologi-informasi-dan-komunikasi-dalam-peningkatan-mutu-pembelajaran-di-kelas/

No comments:

Post a Comment