Thursday, February 4, 2010

Belia, Teknologi & Jenayah Siber


Pada masa kini, internet merupakan sumber maklumat yang amat popular dan penggunaannya semakin meluas dalam sesebuah negara terutamanya dalam kalangan remaja. Kemunculan internet telah menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Pelbagai maklumat, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui internet. Sumber maklumat tersebut bukan sahaja dapat dilayari melalui komputer peribadi di rumah, tetapi juga boleh diikuti melalui telefon bimbit khas yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Memandangkan penggunaan internet begitu berleluasa dan sukar dikawal, dikhuatiri kesan negatifnya akan menular dalam masyarakat. Isu yang panas diperbincangkan tentang penyalahgunaan internet sebagai sumber maklumat ialah jenayah siber. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan jenayah siber? Secara umumnya, ia ialah aktiviti jenayah yang dilakukan melalui internet. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula mendefinisikan jenayah siber adalah mana-mana aktiviti tidak sah di mana pengetahuan mengenai teknologi komputer digunakan untuk merealisasikannya.

Terdapat pelbagai jenis jenayah siber dewasa ini seperti penipuan kad kredit, mencuri maklumat identiti seseorang dan menggodam laman web, pengubahsuaian keatas program atau data komputer, kecurian maklumat, capaian secara tidak sah keatas sistem, menyalin perisian secara tidah sah, pengintipan , judi siber, pornografi, penggodam atau "Hacker" dan penyebaran virus merupakan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Menurut Pavan Duggal, presiden cyberlaws.net dan konsultant, jenayah siber secara asasnya dapat dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu jenayah siber bertentangan dengan perseorangan, jenayah siber bertentangan dengan harta benda dan jenayah siber bertentangan dengan kerajaan. Kategori pertama termasuklah penyebaran pornografi kanak-kanak, gangguan seksual ke atas seseorang melalui e-mail dan lain-lain lagi.

Kategori kedua termasuklah vandalisme komputer iaitu merosakkan harta benda orang melalui teknologi dan penyebaran program-program yang berbahaya. Kategori ketiga termasuklah menggunakan blog dan e-mail untuk memburuk-burukkan sesebuah kerajaan melalui penyebaran khabar angin. Jenis jenayah siber yang biasa kita dengar ialah seperti penipuan, pengubahsuaian ke atas program atau data komputer, kecurian maklumat, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, penggodam atau hacker, penyebaran virus dan siber seks. Kita mungkin akan berhadapan dengan bentuk jenayah baru selaras dengan kepesatan perkembangan teknologi kini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya. Mereka menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007. Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907 kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).

Dari segi data statistik tentang jenayah siber dalam kalangan remaja, menurut Ipsos for Business Software Alliance. "Public Affairs Study Fact Sheet," March 2007, lebih daripada separuh daripada pelajar kolej atau universiti yang download perisian tanpa lesen telah mengalami virus computer, spyware, dan impak-impak yang negatif, di mana 55% mengalami masalah virus dan spyware, 20% mengalami masalah hardware, dan 18% mengalami kehilangan dokumen dan fail.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Internet Security firm Trend Micro di Britain, lebih daripada 10% belia berumur 12 hingga 18 tahun menyatakan bahawa penyamaran sebagai seseorang dalam internet merupakan sesuatu yang menyeronokkan di mana satu daripada 7 belia berumur antara 12 hingga 13 tahun mengaku mereka telah melakukan hal demikian. Satu pertiga daripada 1000 orang belia yang dikaji menyatakan bahawa mereka sanggup melakukan aktiviti menggodam dan pengintipan online demi wang. 40 % daripada mereka mengaku bahawa mereka telah masuk ke dalam social networking orang lain dan peratus belia yang sama telah akses ke dalam akaun perbankan online orang lain.

Pengkaji juga mendapati bahawa ibu bapa mereka telah menjadi contoh yang buruk kepada mereka di mana satu daripada tiga orang turut menggodam nombor akaun orang lain. Daripada data-data tersebut, boleh disimpulkan bahawa masalah jenayah siber semakin menjadi dalam kalangan belia dan boleh dikatakan lebih daripada setengah daripada mereka tidak menyedari bahawa perbuatan mereka salah di sisi undang-undang.

Jenayah Siber Seks

Apa yang dimaksudkan dengan jenayah siber seks adalah,gambar atau paparan yang mengenai tubuh manusia secara terang-terangan yang memeparkan tubuh manusia yang boleh mendatangkan kegaiharan dan perilaku seksual manusia. Filem-filem yang berunsurkan lucah ini kadang-kala menayangkan adegan seksual dari segi foto, teks bertulis, suara, nafas dan yang paling mengjengkelkan lagi ialah imej bergerak.

Virus

Virus merupakan suatu bentuk binatang hidup di alam siber. Walaupun ia tidak dapat disentuh di dunia nyata akan tetapi kewujudan virus ini di alam siber amat utuh. Sehingga sekarang masih belum ada penentang virus yang boleh membunuh virus yang amat berbahaya di alam siber ini. Malah, kewujudan virus ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Virus ini dikatakan boleh memusnahkan maklumat, fakta mahupun apa sahaja input yang ada di dalam komputer dalam sekelip mata. Virus ini juga boleh dikatakan seperti pepatah melayu iaitu ’api dalam sekam’. Kewujudan virus ini amat berbahaya sekali.

Penggodam / Hacker

Penggodam atau ‘hacker’ iaitu seorang yang mencipta dan mengubah suai perisian dan perkakasan komputer, termasuklah pengaturcaraan komputer, pentadbiran, dan urusan-yang berkaitan dengan keselamatan.Dalam pengaturcaraan komputer, penggodam ialah seorang pengaturcara yang menggodam atau mencapai matlamat dengan menggunakan satu siri pengubahsuaian untuk mengeksploit atau melanjutkan kod atau sumber.

Kecurian boleh berlaku dalam berbagai bentuk iaitu fizikal dan maklumat. Terdapat berbagai kaedah kecurian dalam bentuk fizikal yang telah berlaku. Ada di antaranya yang lambat dikesan kerana kecurian dilakukan pada komponen dalam sesuatu komputer. Kebanyakan kecurian yang telah dilaporkan melibatkan kecurian RAM, penukaran harddisk/CDROM drive atau ada kes yang melibatkan papan induk (mother board) computer itu sendiri. Kecurian maklumat pula lebih susah dikesan kerana ia dilakukan dengan kaedah menyalin maklumat tersebut kepada media lain.

Ini mungkin dilakukan kepada sistem yang mengandungi maklumat penting yang tidak mempunyai kaedah capaian maklumat yang menggunakan kekunci tertentu atau media simpanan maklumat tidak disimpan pada tempat terkunci. Oleh itu, sistem kunci masuk ke makmal-makmal komputer atau ke bilik komputer perlu dikaji semula akan keberkesanannya. Kebanyakan mereka ini adalah remaja ataupun dalam lingkungan 20-an. Mereka menyerang sistem hanya sekadar suka-suka dengan mencuba ilmu yang baru mereka pelajari.

Contoh kes yang membabitkan ‘hacker’ ialah Jeffrey Peters-Jtei/ CPU Solution. Beliau terbabit dalam banyak kegiatan jenayah pengkomputeran dan di antara orang penting yang bersekongkol dengan penjenayah yang menggangu "ISP" di Rusia. Antara kebolehannya yang paling ketara spammer FLORIDA ini ialah memalsukan dokumen-dukomen penting.

Jenayah Cetak Rompak

Kemunculan penerbitan cetak rompak sebagai alat telekomunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang merosakan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga software cetak rompak disebarkan melalui Internet.

Wujudnya gejala cetak rompak perisian komputer melibatkan pelbagai industri termasuk pembuatan, pelancongan, media, peruncitan, kejuruteraan dan landskap.Ia membabitkan perisian perniagaan bagi mengedit gambar, reka bentuk, animasi, pelindungan antivirus, sistem operasi dan pemprosesan milik anggota BSA seperti Autodesk, Adobe, Macromedia dan Symantec. Selain itu, wujudnya plagarisme dalam percetakan buku-buku yang diterbitkan secara berleluasa tanpa mendapat kebenaran bagi pihak berkuasa dan penerbit. Hal ini dapat dilihat di sesetengah pusat pengajian tinggi dan pusat-pusat tuisyen yang sedikit sebanyak memberi kesan buruk ke atas periuk nasi sesetengah pihak.

Contoh kes:

(KOSMO Sabtu 25 September 2004) KUALA LUMPUR, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat dakwaan wujudnya penglibatan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menjadi pengedar cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) lucah cetak rompak. Rabu Disember 9, 2009 Pemilik Bistro Hadapi Denda RM20 Juta di Pulau pinang: Seorang pengusaha bistro berdepan dengan hukuman denda RM20 juta selepas didapati memiliki sebuah set karaoke yang mengandungi 10,000 salinan cetak rompak lagu tempatan dan antarabangsa di Seberang Jaya.

Akta

Peningkatan kadar jenayah siber telah menyebabkan beberapa akta digubal.Diantaranya ialah Akta Jenayah Komputer 1997 yang berkaitan dgn kesalahan berkaitan penyalahgunaan komputer untuk tujuan melakukan jenayah.Akta ini telah diluluskan di Parlimen pada Mac 1997 (Dikuatkuasa pada 1 Jun 2000).Tujuannya ialah untuk mengawal perlakuan jenayah yang dilakukan menggunakan komputer secara terus atau melalui talian.

Di bawah akta ini, akses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data yang terdapat di dalam sesebuah komputer adalah salah dan boleh dikenakan hukuman. Akta ini juga berkesan kepada apa-apa jenayah yang dilakukan di luar Malaysia walaupun kesalahan tersebut dilakukan oleh seseorang atau dari sesuatu tempat di luar Malaysia selagi mana komputer, program atau data tersebut adalah berada di Malaysia atau boleh dicapai, dihubungkan atau digunakan dengan komputer di Malaysia.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan satu Akta berkenaan undang-undang siber dan dibentuk sebagai satu rangkakerja bagi campurtangan kerajaan Malaysia dalam memantau industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuk penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.

Akta lain yang terlibat dengan isu ini ialah Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Hakcipta (pindaan) 1997, Akta Teleperubatan 1997, dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.Polis turut menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Teknologi di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menangani masalah ini.

Kesimpulannya, dalam dunia tanpa sempadan sekarang undang-undang siber tidak boleh kita harapkan untuk melindungi kita dari ancaman jenayah komputer.Serangan mungkinboleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, beribu-ribu batu jauhnya ataupun dari orang yang di sebelah kita dan amat malang sekali kita sukar mengenali siapa mereka dan dari mana mereka menyerang kita. Walau bagaimanapun kita kena mengambil langkah untuk melindungi sistem komputer kita sendiri. Lengkapkan diri kita dengan ilmu tentang komputer dan mungkin kita boleh lindungi sistem komputer kita dengan perisian yang ada di pasaran seperti anti-virus, firewall, pop-up blocker, anti-spyware dan apa saja perisian keselamatan yang lain.

Pendapat kami mengenai isu ini ialah:

Dalam dunia tanpa sempadan, kita harus mengambil langkah untuk melindungi sistem komputer kita sendiri kerana serangan mungkin dilakukan oleh orang dari jauh mahupun dekat dengan kita melalui dunia siber. Kita harus ingat bahawa internet diakses oleh berbillion-billion orang di dunia ini yang terdiri daripada kategori yang baik mahupun buruk. Oleh itu, kita harus ambil langkah berjaga-jaga seperti jangan berkongsi maklumat peribadi termasuklah nama penuh, alamat rumah, nombor telefon, nombor kad kredit dengan orang yang tidak dikenali, jangan mendedahkan kata laluan internet dengan sesiapa, berhati-hati ketika berjumpa dengan orang yang hanya dikenali melalui internet dan jika boleh, berkongsi apa yang anda lakukan dan sesiapa yang anda kenal melalui internet dengan ibu bapa anda. Kita juga harus lengkapkan diri kita dengan ilmu tentang komputer untuk melindungi kita daripada masalah-masalah seperti penyebaran virus dan penggodam.


http://www.ytrg.terengganu.gov.my
http://www.wikipedia.org/wiki/Jenayah_siber
http://www.wikipedia.org/wiki/Penggodam
http://www.wikipedia.org/wiki/Virus_komputer
http://www.wikipedia.org/wiki/Cetak_rompak
http://www.wikipedia.org/wiki/Akta_Jenayah_Komputer_1997
http://www.wikipedia.org/.../Akta_Komunikasi_dan_Multimedia_1998
http://www.wikipedia.org/wiki/Akta_Tandatangan_Digital_1997

No comments:

Post a Comment