Teknologi media boleh dikatakan memainkan peranan penting dalam mengubah minda masyarakat dalam memperbaiki cara hidup mereka ke arah yang lebih baik. Tanpa media, rakyat sesebuah negara itu akan menjadi buta dan pekak maklumat dan umpama katak di bawah tempurung. Menurut Edelstein (dipetik dari Shafiee Ahmad, 2002), 'the media tell us what is and what is not important. The media do not tell people what to think but what to think about,' Memandangkan pentingnya media, khususnya media elektronik dalam zaman serbacanggih ini, banyak negara berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kemajuan dalam bidang ini.
Malaysia contohnya, telah berusaha untuk menjayakan projek multimedianya dengan begitu serius untuk mencapai matlamat tersebut. Menurut sarjana pandangan optimis seperti McLuhan, Alvin Toffler dan Daniel Bell, perkembangan teknologi media antarabangsa sememangnya membawa impak yang baik terhadap politik, ekonomi, dan budaya negara-negara membangun. Sarjana pandangan pesimis pula memberi pandangan yang sebaliknya. Jadi, mana yang betul? Persoalan ini akan dibincangkan dalam segment yang seterusnya...
Perkembangan teknologi media antarabangsa dikatakan memberi kesan yang besar kepada kehidupan masyarakat dunia. Menurut Marshall McLuhan, seorang sarjana yang memperkenalkan konsep ‘global village’ ataupun perkampungan sejagat, menyatakan bahawa perkembangan teknologi dapat memperluaskan keupayaan manusia. Media dikatakan mampu meluaskan pengetahuan dan pengalaman, digunakan untuk meningkatkan aspirasi serta bertujuan membentuk pembangunan sesebuah negara (Schramn, 1964). Namun sejauhmanakah sangkaan yang diperkatakan ini benar?
Jika dilihat dari pandangan ahli-ahli sarjana, terdapat pelbagai persepsi tentang perkembangan teknologi media dan impaknya ke atas politik, ekonomi dan budaya negara dunia ketiga khasnya. Bagi penyokong isu globalisasi dan media global, mereka melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk warga dunia menjadi masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan. Ini disebabkan proses menyebarluas bahan berita dan pengetahuan dapat dilakukan dengan pantas tanpa sekatan ke seluruh pelusuk dunia. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang pesimistik mengenai globalisasi dan media global ini, situasi ini akan mengulangi satu lagi usaha penjajahan. Pada masa lalu, penjajahan dilakukan secara fizikal melalui kekuatan ketenteraan dan kemudiannya berlaku secara kuasa ekonomi. Kini penjajahaan boleh dilakukan secara elektronik dengan mendominasi rangkaian media global.
Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang kesan perkembangan teknologi media terhadap politik, ekonomi dan budaya seeloknya kita menyingkap dahulu pandangan-pandangan sarjana tentang perkembangan teknologi ini.
Pandangan Optimis...
Menurut pandangan optimis, perkembangan teknologi media membawa pelbagai faedah dan menjanjikan dunia lebih maju dan sempurna. Situasi seperti ini akan mampu mengatasi jurang perbezaan di antara negara maju dan negara membangun. Maklumat akan dapat dikongsi bersama dan komunikasi akan menjadi lebih baik. Alvin Toffler (1990) bersetuju dengan menyatakan bahawa kemajuan teknologi baru komunikasi akan mewujudkan pengaliran maklumat yang menjangkau sempadan dengan mudah dan menggalakkan perkongsian maklumat yang lebih seimbang di antara negara maju dan negara dunia ketiga.
Informasi yang dipancarkan melalui media akan dapat membantu negara-negara lain meningkatkan kesedaran tentang perkembangan ekonomi, politik dan ini membolehkan masyarakat hidup dalam keamanan dan kemajuan. Negara-negara dunia ketiga akan berusaha untuk menjadi maju dan meniru kemajuan seperti yang terdapat di negara maju. Sarjana De Sola Pool juga berpendapat bahawa perkembangan ini akan membawa pelbagai kemudahan dalam masyarakat. Namun demikian, persoalannya adakah segala kemudahan yang dicipta daripada teknologi media ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat?
Pandangan pesimis...
Para sarjana dari pemikiran pesimis mempunyai hujah-hujah tersendiri. Mereka beranggapan bahawa dengan perkembangan komunikasi media ini akan mencetuskan ketidakseimbangan di antara negara dunia ketiga dan negara dunia pertama di mana Amerika Syarikat dikatakan memonopoli pengaliran maklumat di dunia. Herbert Schiller menyatakan bahawa media kelihatan tidak begitu demokrasi dan hanya dihasilkan berdasarkan kepentingan dan keperluan pihak berkuasa sahaja.
Dari sudut ekonomi, melalui perkembangan teknologi media, dapat dilihat satu bentuk pergantungan kepada negara dunia pertama wujud. Menurut McPhail, syarikat multinasional yang berpangkalan di negara utama cuba menguasai pasaran global melalui rangkaian syarikatnya yang beroperasi di negara subodinate. Jika dalam teori dependency, Andre Frank menyatakan bahawa di antara punca kemunduran negara sedang membangun adalah disebabkan hasil kekayaan buminya telah diperah untuk mengkayakan negara maju yang menjadi penjajah, keadaan yang sama juga berlaku sekarang ini melalui arus globalisasi. Yang berbeza adalah pada ketika ini bukan kekayaan bumi yang diperah, tetapi kuasa membeli warga negara membangun itu yang dikuasainya melalui promosi produk yang menggunakan keupayaan dan pengaruh komunikasi.
Peranan negara utama ini adalah untuk memperluaskan dagangan mereka dengan dua kelompok negara lain yang dianggap sebagai subordinate. Perluasan dagangan ini dilakukan dengan menguasai hak milik melalui dasar deregulasi dan pasaran terbuka global. Di samping itu, penguasaan dagang ini juga dilakukan melalui ‘menguasai’ kuasa beli warga negara yang terbabit dengan promosi periklanan. Dengan belanjawaan periklanan yang tinggi, secara langsung atau tidak langsung, ia menggalakkan pertumbuhan media di negara subordinate yang kemudiannya akan menjadi alat penyebaran dan promosi produk daripada negara utama ini. Dalam komunikasi global ini, periklanan menjadi nadi kepada usaha dominasi negara utama terhadap negara subordinate.
Menurut Competative Media reporting (CMR) pada penghujung tahun 1990an, 10 pengiklan yang utama adalah berpengkalan di Amerika Syarikat di mana diantara mereka telah membelanjakan sejumlah US$ 11 Billion setahun (RM 41.1 billion) untuk pengiklanan secara global. Untuk mempastikan kesan periklanan ini, syarikat periklanan multinasional juga beroperasi di negara subordinate. Syarikat multinasional ini dengan belanjawan yang besar lazimnya dapat menerapkan nilai, sikap dan amalan niaganya di negara di mana mereka beroperasi. Kehadiran mereka yang mempunyai kepakaran dan kemahiran tinggi terutama dalam menganalisis pasaran dan mengatur strategi pemasarannya telah meminggirkan agensi periklanan tempatan yang sering kali merupakan agensi kecil yang tidak mempunyai kemahiran dan kemampuan kewangan yang besar.
Dari sudut politik pula, Dunia yang diglobalkan oleh teknologi media akan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu yang mementingkan kebaikan-kebaikan keahliannya sahaja. Sebagai contoh, Usenet ialah satu koleksi yang diwujudkan oleh pengguna-pengguna internet, yang merangkaikan antara ahli-ahlinya sahaja. Dalan buku Global Paradox (1995) daripada John Naisbitt, yang mana turut disokong oleh kolumnis, Hassan Ahmad (Dunia Berglobal Tetapi Manusia Tidak, Dewan Masyarakat, Disember,1995), mengatakan dunia ini akan berpecah kepada negeri-negeri yang kecil atas kepentingan sendiri kesan daripada globalisasi oleh teknologi media.
Sebagai contohnya suatu suku kaum boleh menggunakan kemudahan teknologi untuk memelihara kepentingan mereka di mana-mana saja di dunia ini. Lebih-lebih lagi mereka boleh berhubungan dalam bahasa yang tersendiri atau kod-kod khas, yang tidak difahami oleh masyarakat yang lain. Sebagai contoh yang terdekat, kerajaan Malaysia mempunyai akses dan kuasa terhadap media cetak. Sebagai akibat, media hanya melaporkan berita yang positif mengenai kerajaan. Hal ini nyata dilihat semasa musim pilihanraya. Sama juga situasinya jika dilihat dari sudut dunia, pihak yang memonopoli media akan mengunakan taktik yang sama seperti ini untuk menguasai pemikiran masyarakat dunia ketiga.
Jika kita fikirkan, kita bukan sahaja disajikan dengan maklumat politik, kewangan dan sosial daripada pelbagai tempat di dunia melalui CNN dan CNBC tetapi juga berkongsi hiburan yang sama dengan penduduk dunia yang lain melalui filem-filem melalui rangkaian televisyen seperti HBO, Cinemax, dan Star Movies. Begitu juga generasi muda terdedah kepada rancangan musikal seperti MTV dan V Channel, selain daripada diperagakan dengan perisian program kanak-kanak daripada Disney Channel dan Nicoldeian. Daripada perkembangan ini, bukan sahaja kita akan beruntung untuk menerokai dunia luar dengan mudah dan mendapat faedah daripadanya, tetapi dalam masa yang sama juga kita akan lebih terdedah kepada unsur-unsur luar ke dalam persekitaran kita.
Keterbukaan kepada dunia luar tanpa kawalan inilah yang kurang disenangi oleh kebanyakan negara sedang membangun kerana mereka merasa kehilangan keupayaan untuk menentukan apakah yang terbaik untuk negara mereka, terutamanya budaya yang menjadi identiti mereka. Andaian ini adalah berasaskan bahawa perkembangan teknologi komunikasi akan cuba mewujudkan budaya yang homogen. Menurut Tomlinson (1999), tesis budaya homogen atau cultural homogenization berasakan andaian bahawa globalisasi adalah sebagai usaha untuk menyeragamkan permintaan, mewujudkan budaya pengguna, di mana setiap tempat akan menjadi lebih kurang sama. Perkembangan ini menunjukkan bahawa ianya bukan sahaja menyentuh tentang hubungan antara pelbagai pelusuk dunia, tetapi juga berkaitan dengan penyebaran budaya.
Walaupun kita tetap kekal di tempat kita tinggal, tetapi dengan perkembangan teknologi media ini, simbol budaya luar akan datang kepada kita melalui perantara media. Kita akan terdedah kepada proses intergrasi dan disintergrasi budaya di mana budaya luar menyerap dan diterima dalam budaya kita disamping ia juga mengdisintergrasikan budaya yang sedia ada. Akibatnya budaya yang sedia ada dibayangi oleh budaya baru yang mengintergrasikan ciri-ciri budaya luar. Media Barat banyak memainkan peranan di dalam memberikan pengaruh terhadap masyarakat dunia tanpa batasan sama ada sosial, budaya, bangsa dan agama dalam menyalurkan nilai-nilai Barat terhadap masyarakat negara dunia kedua dan ketiga terutamanya golongan remaja dengan unsur-unsur perilaku negatif. Sifat ingin tahu manusia turut menyumbang kepada pengaruh dan mengikut arah aliran Barat, contohnya seperti mewarnakan rambut, memakai anting-anting atau tatu dan masalah gejala sosial yang lebih serius.
Masyarakat juga menjadi semakin individualistik dan materialistik. Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat. Contoh tradisi yang semakin pupus yang boleh dilihat ialah dalam urusan kenduri-kendara. Mayarakat kini lebih menggunakan katering, manakala peralatan sama ada disewa atau dibeli. Kebanyakan masyarakat ketika ini juga bersikap 'materialistik' untuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Media massa merupakan sumber maklumat yg cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi.
Melaluinya, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk semua peringkat umur. Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan menuruti hal yang dilihat di sekeliling mereka seperti paparan adegan-adegan negatif dari filem barat. Melalui internet, masyarakat akan lebih mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat yang terdapat dalam internet yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif. Dengan bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa yang diluangkan untuk keluarga sangat terhad. Ini akan membuat anak-anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kekurangan kasih sayang.
Secara keseluruhannya, kami mempunyai pendapat kami yang tersendiri mengenai isu ini. Perkembangan teknologi media antarabangsa boleh dikatakan ada kebaikannya dan keburukannya yang sendiri. Pemilihan dan penggunaan bahan media ada di tangan sendiri. Selain itu, media seharusnya diberi kebebasan dalam melaksanakan fungsinya secara objektif dan telus. Tidak ada pihak seharusnya mengambil kesempatan daripada keistimewaan yang dimiliki oleh media untuk kepentingan tertentu, misalnya menjadikan media sebagai alat propaganda bagi mempengaruhi sesuatu pihak. Hal ini kerana sekiranya kebebasan media dikesampingkan, orang ramai tidak lagi akan menaruh kepercayaan kepada media lagi. Oleh itu, media seharusnya dijadikan ruang untuk menyalurkan maklumat yang berguna untuk memupuk masyarakat bermaklumat, bukannya menyampaikan anasir-anasir negatif yang akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.
Rujukan:
http://my.opera.com/karanganbm/blog/show.dml/6783971
http://azziyan.multiply.com/journal/item/2/kemerdekaan_dan_globalisasi
http://agussetiaman.wordpress.com/2008/11/14/media-massa-dan-imperialisme-kultural
No comments:
Post a Comment