Friday, February 12, 2010

Sejauhmanakah Teknologi Memberi Impak Kepada Dunia Pendidikan


Pada masa kini, perkembangan pesat dalam bidang teknologi telah membawa kebaikan kepada pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi juga membawa kesan yang buruk kepada sektor pendidikan. Isu ini juga merupakan isu yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Secara umumnya terdapat dua persepsi positif terhadap penggunaan teknologi dalam pendidikan. Pertama, dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian ilmu kepada pelajar dan kedua, menjimatkan kos.

Kesan positif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan

Pertama, penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya boleh mendapat perhatian daripada pelajar dan memudahkan mereka menyerap ilmu yang disampaikan oleh seseorang pengajar. Pada masa kini, boleh dikatakan peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda. Oleh itu, penggunaannya dalam bidang pendidikan dapat menjamin hasil yang memuaskan. Hal ini kerana penyampaian dapat dipersembahkan dalam bentuk visual yang menarik, animasi, 3D dengan suara yang dapat menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah. Ia juga dapat meringankan beban pelajar yang terpaksa mengalas beg yang penuh dengan buku ke sekolah sekiranya dapat digantikan dengan hanya beberapa keping CD-ROM pada masa hadapan.

Dari segi penjimatan kos pula, kos untuk mencetak buku dapat dijimatkan. Untuk memenuhi keperluan pelajar supaya setiap daripada mereka mendapat pinjaman buku teks, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi untuk mencetak buku teks tersebut. Dengan adanya teknologi, kerajaan dapat menjimatkan banyak kos sebab proses pembelajaran dapat dijalankan tanpa buku. Hal ini juga dapat mengurangkan penebangan pokok-pokok untuk membuat kertas. Dengan perlaksanaan pendidikan jarak jauh, ia dapat menjimatkan kos pembinaan universiti dan infrastrukturnya. Program ini memanfaatkan infrastruktur sedia ada di tempat yang lengkap dengan keperluan asas seperti kemudahan komputer dan internet. Pelajar hanya perlu pergi ke pusat tersebut pada hujung minggu untuk berbincang dengan pensyarah tentang khusus yang diikuti. Oleh itu, pelajar tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk kos pengangkutan dan tempat kediaman kerana mereka tidak perlu menghadiri kuliah di universiti.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan juga dapat menjimatkan masa pelajar dan memupuk sikap suka membaca dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi, apa-apa maklumat dapat diperoleh dengan mudah hanya dengan satu klik pada tetikus. Berbanding dengan pelajar pada masa lalu yang terpaksa mencari maklumat dengan cara manual dan bahan bercetak hanyalah satu-satunya harapan untuk mereka memperoleh maklumat yang diingini, pelajar sekarang mempunyai kelebihan dengan adanya kemudahan internet. Hal ini kerana selain daripada bahan bercetak, pelajar juga dapat memperoleh maklumat yang diingini melalui internet dengan cepat. Penggunaan media elektronik juga dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Sebagai bukti, untuk membolehkan kita mengikuti perkembangan semasa dan menimba ilmu pengetahuan melalui internet, kita perlu membaca. Segala maklumat yang dipaparkan melalui laman web adalah dalam bentuk tulisan dan untuk mengetahui maklumat tersebut, kita perlu mahir membaca. Secara tidak langsung, ia dapat memupuk sikap membaca dalam kalangan mereka.

Dengan adanya teknologi yang canggih, segala tugas dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul. Sebagai contoh, proses mencari maklumat, menyelesaikan tugasan yang diberi oleh pengajar dan lain-lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini merupakan kebaikan daripada perkembangan teknologi. Adanya teknologi multimedia menjadi semakin menarik kerana teknologi ini baru diperkenalkan pada tahun 1990-an walaupun sebelumnya sistem CAL (Computer Aided Learning) dan hiperteks masih terbatas dalam media yang terpisah-pisah belum digabungkan seperti multimedia yang memiliki makna gabungan pelbagai media; teks, suara imej, animasi dan video dalam satu perisian (Jacobs, 1992).

Menurut Evans dan Nation (2000), penggunaan inovasi teknologi baru termasuk internet telah banyak memberi sumbangan dalam pendidikan dan diantaranya adalah menyediakan peluang untuk penambahbaikan mutu pendidikan (Oliver and Short, 1997), menyokong untuk memenuhi kehendak individu dalam program pendidikan (Kennedy and McNaught,1997) dan menyediakan peluang untuk belajar dengan lebih luas dalam konteks sumber asli (Laffley, Tupper, and Musser, 1998).

Menurut Lowe (2002) pula, pelajar mendapat pembelajaran secara talian merupakan satu kaedah yang menyenangkan pembelajaran mereka. Melalui pembelajaran ini, pelajar boleh belajar di mana sahaja dan pada masa yang dipilih oleh pelajar itu sendiri. Hal ini membolehkan pelajar tersebut dapat menguruskan masanya dengan lebih efektif dan pada masa yang sama ia melibatkan penggunaan kos secara efektif. Pembelajaran secara interaktif melalui talian membolehkan pelajar menerokai maklumat baru menerusi perpustakaan digital ataupun di laman web. Apabila semakin banyak teknologi diperkenalkan dalam bidang pendidikan, pendidikan jarak jauh menyediakan satu cara untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan secara global. Kini, pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan.

Kesan nagatif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa suatu perkara memang terdapat pro dan kontra. Begitu juga hubungannya antara penggunaan teknologi komunikasi dalam bidang pendidikan. perkembangan teknologi banyak membantu dalam dunia pendidikan dewasa ini, namun perkembangan teknologi ini juga mendatangkan beberapa keburukan. Terdapat pelbagai isu dan masalah yang timbul berhubung dengan penggunaan teknologi komunikasi seperti internet dikalangan pelajar dan guru untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang banyak di internet yang tidak ditapis akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan khususnya kepada pelajar, yang menjadi antara golongan pelayar internet teramai di Malaysia . Terdapat banyak maklumat yang tidak sesuai seperti maklumat seks, hasutan, khabar angin, diskriminasi, dadah, promosi keganasan dan penderaan, perjudian dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang telah dijalankan di Amerika yang mendapati 48% guru sukar mencari laman web yang bersesuaian untuk proses pengajaran dalam kelas.

Disamping itu, kebanyakan isi kandungan yang dipaparkan di internet tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana, seperti yang kita tahu, medium teknologi komunikasi seperti internet tidak dikawal oleh sesiapa dan semua orang mempunyai hak untuk menulis dan menyiarkan sebarang maklumat di internet. Maklumat ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya pelajar tidak dapat membezakan antara maklumat yang betul dan yang salah. Ini akan menjejaskan matlamat pengajaran dan pembelajaran melalui internet. Oleh sebab itu, guru perlu berupaya menilai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai media dan sumber serta berupaya membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapatkan maklumat yang tepat dan betul. Kemudahan yang disajikan oleh teknologi komunikasi dalam dunia pendidikan memberi keburukan kepada pelajar.

Dewasa ini, para pelajar tidak lagi kreatif dalam memberikan idea-idea sendiri dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, teknologi komputer telah menjadikan kerja-kerja penyalinan maklumat dengan begitu senang dengan hanya menggunakan arahan file dan hanya dengan menekan “copy” and “paste”, semua kerja sudah siap tanpa perlu bersusah payah memerah otak. Walaupun teknologi membawa kemudahan dalam sistem pendidikan hari ini, namun ada juga keburukannya dimana pelajar yang selalu mengakses internet, sebagai contoh lebih tertarik untuk duduk di hadapan komputer tanpa memikirkan kehidupan sosial samada dalam keluarga atau masyarakat. Senario ini akan menyebabkan pelajar menjadi pasif dan kurang berkomunikasi antara satu sama lain sedangkan untuk menjadi seorang yang berdaya saing mereka pelu berupaya untuk memberikan idea-idea yang bernas dan berkualiti bagi memantapan dan pembangunan kejayaan mereka.

Masalah plagiarisme juga boleh berlaku tanpa disedari oleh seseorang pelajar. Pelajar sekarang suka ’copy-paste’ maklumat yang dicari dari internet tanpa menyedari sama ada ia telah melanggari hak-hak pengeluar maklumat tersebut. Masalah ini diburukkan dengan wujudnya maklumat yang berlambak dalam internet yang senang diperoleh oleh seseorang pelajar hanya dengan satu klik tanpa diketahui oleh pengeluar maklumat tersebut

Selain itu teknologi yang digunakan untuk tujuan pendidikan ini juga memupuk sikap malas dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi yang canggih, kebanyakan tugas yang memerlukan kemahiran seperti melukis, mengira, menulis telah diselesaikan oleh komputer. Pelajar sekarang akan menjadi lebih malas dan kehilangan kemahiran-kemahiran tertentu dengan meningkatnya kebergantungan kepada komputer. Sebagai contoh, menaip dan mengira dengan menggunakan komputer dan mesin kira akan menyebabkan kemahiran menulis dan mengira pelajar merosot.

Masalah komunikasi dan plagiarisme juga boleh berlaku dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Dari segi komunikasi, terutamanya mereka yang mengikuti program pendidikan jarak jauh, masalah komunikasi antara pelajar dan pensyarah mungkin wujud kerana mereka dijarakkan dengan sebuah komputer. Ia boleh menggalakkan komunikasi yang pasif antara pelajar dan pensyarah mereka. Fikirkan seorang pensyarah yang terpaksa berhadapan dengan banyak pelajar dalam satu masa melalui komputer,tidak mungkin dia boleh memberi perhatian yang sepenuhnya kepada seseorang pelajar dan menjawab persoalan yang dikemukakan dalam masa yang sama.

Daripada pandangan pesimis,isu kos yang dibincangkan oleh golongan optimis memberi penjimatan terhadap pengguna. Menurut pandangan golongan pesimis penjimatan kos juga tidak akan berlaku sekiranya pelajar menggunakan kemudahan komputer, internet secara berleluasa. Contohnya penggunaan komputer dan internet digunakan terlalu lama sehingga menaikkan bil elektrik selain harus membayar kemudahan internet yang digunakan.

Pendidikan jarak jauh

Dari segi perlaksanaan pendidikan jarak jauh, ramai yang mempersoalkan kualiti pelajar yang dihasilkan melalui program ini. Persoalan yang membimbangkan itu memang ada asasnya. Disebabkan pelajar program ini tidak perlu menghadiri kuliah di kampus, maka persaingan antara pelajar boleh dikatakan tidak wujud kerana mereka tidak dapat menyaksikan aktiviti dan kesungguhan pelajar lain mengikuti kuliah, tutorial dan mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Kekurangan persaingan menyebabkan sesetengah pelajar menjadi lalai, malas dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap khusus yang diikuti. Keadaan ini berbeza dengan pelajar yang terpaksa menghadiri kuliah setiap hari yang boleh menyaksi sendiri kesungguhan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dalam proses pembelajaran dan seterusnya menjadi satu motivasi untuk mereka belajar dengan baik.

Namun menurut pandangan optimis pula pendidikan jarak jauh ini memberi peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka. Oleh itu penggunaan teknologi akan memberi kemudahan mereka mengakses ilmu. Bersesuaian dengan zaman globalisasi apa jua boleh didapati melalui hujung jari anda.

Pendaftaran secara online

Antara lainnya pula, penggunaan teknologi memudahkan institusi pendidikan untuk pendaftaran pelajar secara online. Usaha ini dapat mengurangkan kos kerana pendaftaran secara terus akan melibatkan kos yang agak besar dari segi perancangan dan perlaksanaan program terutama melibatkan institusi pendidikan awam. Tetapi ada juga pendapat bahawa pendaftaran secara online hanya akan meyebabkan keciciran pelajar yang cemerlang dari luar bandar. Ini kerana mereka kurang pendedahan dalam penggunaan teknologi, seteusnya tidak tahu mendaftar secara online menyebabkan mereka tidak dapat meyambung pelajaran ketahap lebih tinggi.

Cadangan/ pendapat

Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin meluas pada masa kini. Ia akan memberi kesan terhadap apa yang dipelajari dan bagaimana pelajar belajar sama ada baik ataupun buruk. Oleh itu kesan baik dan buruk penggunaan teknologi dalam pendidikan harus dipertimbangkan sebelum perlaksanaannya. Persoalan seperti di mana dan bagaimana kita menggunakan teknologi maklumat harus dijawab dan bukannya kita harus atau tidak harus menggunakannya.

Rujukan
http://en.wikipedia.org/wiki/Computer-assisted_language_learning
http://en.wikipedia.org/wiki/3D_computer_graphics_software
http://www.pendidikanjarakjauh.com/blog-tentang-pendidikan-jarak-jauh/
http://wiki.answers.com/Q/Apa_kebaikan_dan_keburukan_internet

4 comments: