Thursday, February 25, 2010

Teknologi & Negara Dunia Ketiga. Apakah Kesan Dan Akibatnya Imperialisma?


Era imperialisme telah wujud semenjak abad ke-19 lagi. Imperialisme boleh didefinisikan sebagai usaha-usaha untuk menjajah atau menguasai dunia. Ianya bermula dengan kolonialisme apabila kuasa imperialis seperti Britain, Perancis dan Jerman mula menakluk dan memerintah kawasan jajahan yang terkecil.

Terdapat empat trend utama yang berkaitan dalam arena teknologi komunikasi dunia pada dekad ini. Keempat-empat trend ini telah diperkukuhkan lagi imperialisme budaya iaitu digtization, consolidation, deregulation dan globalization (C.J Hamelink). Digitization merupakan satu teknologi pemancaran dan pemprosesan data dalam bentuk kod komputer yang cepat dan tepat. Syarikat-syarikat konglemerat berusaha untuk memajukan teknologi ini supaya mempunyai daya saing yang lebih tinggi. Pelbagai hardware dan software didigitasi oleh mereka di negara maju khusunya dalam barangan pengguna seperti compact disc (CD).

Deregulation ialah satu persekitaran undang-undang polisi komunikasi yang longgar yang memberi kelebihan kepada konglomerat untuk menarik pelabur asing. Deregulation dilakukan oleh pembuat dasar untuk menjual pemilikan perkhidmatan telekomunikasi dan maklumat kepunyaan kerajaan kepada pemilik swasta.

Consolidation adalah pergabungan korporat gergasi untuk mengawal pasaran dan mengaut keuntungan maksima. ( Contoh: Sony beli Columbia Pictures dan CBS Records). Apabila berlakunya pergabungan ini, maka secara langsung, berlaku kuasa oligopoli- iaitu mampu mengawal dan menguasai aliran, penghasilan dan penyebaran maklumat dunia.

Globalization pula merupakan proses meletakkan dunia dalam unit tanpa batas sempadan dan kedudukan sesebuah negara. Dunia seolah menjadi terbuka dengan pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi teknologi komunikasi; setelit dan internet. Dalam erti kata lain, globalization adalah dunia tanpa sempadan atau dunia sejagat.

Imperialisma Negara Dunia Pertama

Sejak sekian lama, kita perlu mengakui bahawa teknologi dan sistem komunikasi dunia telah dikuasai oleh Negara-negara dunia pertama. Negara dunia pertama ialah negara yang maju di mana mempunyai tahap ekonomi dan politik yang stabil serta taraf hidup penduduk yang tinggi. Sebagai contoh, Amerika Syarikat, England, Jepun, dan lain-lain lagi. Dari Negara-negara maju inilah gergasi media dunia beroperasi menyebarkan maklumat ke seluruh dunia. Melalui syarikat multinasional, maklumat bukan sahaja menjadi komoditi utama, malah produk budaya turut dieksport ke negara-negara dunia ketiga. Syarikat sebegini biasanya terdiri daripada pengeluar filem, penerbit buku, stesen televisyen, agensi berita, dan sebagainya.

Sebagai akibat, wujudlah apa yang disebut sebagai neo-kolonialisme yang merupakan satu bentuk penjajahan baru bagi menggantikan kolonialisme yang tersingkir lewat perang dunia kedua. Gejala tersebut menjadi kebimbangan kerana ancaman produk-produk budaya yang dibawa masuk dari negara dunia pertama mampu meranapkan sesebuah negara sekiranya pemerintahnya tidak berhati-hati. Sebagai contoh, filem-filem dari Amerika Syarikat telah berjaya menembusi negara-negara timur yang terkenal dengan adab sopannya dan meruntuhkan nilai-nilai murni yang dimiliki selama ini. Penayangan filem-filem berbentuk ‘superhero’ seperti ‘Spiderman’ dan ‘Batman’ dilihat mampu menembus jangkauan fikiran anak-anak sehingga menjadi idola yang mungkin melakukan aksi-aksi yang membahayakan.

Negara-negara dunia pertama juga menguasai Negara-negara dunia ketiga dari segi ekonomi. Sebagai contoh, oleh sebab negara-negara dunia ketiga mempunyai bekalan sumber kewangan yang terhad, ia memerlukan pengaliran modal yang banyak untuk memajukan ekonominya iaitu dengan mendapat bantuan kewangan dari International Monetary Fund (IMF) dan World Bank di mana Amerika Syarikat merupakan penyumbang utama kepada kedua-dua badan ini. Hal ini menyebabkan negara-negara dunia ketiga terikat dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh badan-badan itu. Kesan-kesan imperialisme negara-negara dunia pertama ke atas negara-negara dunia ketiga akan dibincangkan dalam segmen yang seterusnya.

Bentuk-bentuk Imperialisma

Masyarakat terbentuk melalui aliran modal, aliran maklumat, aliran teknologi, aliran interaksi organisasi, aliran imej, suara dan simbol. Aliran tersebut bukan hanyalah salah satu elemen organisasi sosial, ia adalah luahan proses dominasi ekonomi, politik dan simbolik hidup kita. Justeru itu, wujudlah satu bentuk reruang baru yang membawa ciri-ciri tindakan sosial, yang akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Reruang yang dimaksudkan adalah ruang aliran (Castells, 1996).

Terdapat pelbagai pengaruh terhadap teknologi maklumat dari Negara dunia pertama kepada negara membangun. Antaranya adalah dari segi pendidikan, pengakutan samada pengakutan jalan,laut, dan udara, perubatan, seni dan hiburan, perdagangan dan perindustrian dan sebagainya. Dari segi pendidikan, terdapat banyak perubahan yang telah dibuat oleh Negara dunia pertama. Antaranya adalah membuat pendidikan jarak jauh yang sekarang ini makin popular dan makin diguna pakai oleh Negara-negara membangun.

Malah dari segi pengakutan pula, terdapat pelbagai perubahan yang telah di buat oleh negara dunia pertama yang sekarang ini cuba mempengaruhi negara dunia kedua dan ketiga. Contohnya, Amerika Syarikat telah mewujudkan Sistem Kedudukan Global di mana peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan. Dari segi pengakutan laut pula, wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB) yang telah memudahkan pelayar-pelayar menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi (Star,1999).

Selain daripada itu, dari segi perubatan pula, Tele-perubatan telah diguna pakai di mana pesakit tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doctor (Laver, 1989).

Bagi seni dan hiburan pula, penggunaan digital dan alam maya telah pun diperkenalkan di mana kini di dalam dunia hiburan timbul unsur cetak rompak yang berleluasa akibat daripada teknologi yang semakin canggih ini.Negara dunia pertama juga telah mewujudkan penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan dari segi perdagangan dan perindustrian. Menjelang tahun 2001, gedung membeli-belah berangkai (online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5 hingga $6 juta di Amerika Syarikat (Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung seperti Parkson, Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian.

Pandangan Optimis dan Pesimis Mengenai Imperialisma

Menurut pandangan optimis sememangnya teknologi membawa pengaruh positif terhadap perkembangan dunia ke-tiga kerana ia membantu untuk memajukan Negara dunia ke-tiga. Ini kerana teknologi yang yang dibeli boleh memberi perubahan dari pelbagai aspek. Contohnya pembelian satelit dari Negara dunia pertama memudahkan Negara mundur mengakses informasi dan sebagai alat komunikasi antara rakyat dan kerajaan. Melalui televisyen juga kerajaan dapat memberitahu segala agenda terbaru Negara untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang miskin. Oleh itu teknologi amatlah penting dalam proses komunikasi antara rakyat dan kerajaan. Selain itu melalui alat-alat teknologi canggih dari negara maju dalam bidang keselamatan juga memberi kelebihan kepada dunia ke-tiga untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

Kritikan seorang sarjana iaitu Anthony Smith terhadap pandangan ini dalam bukunya ‘The Geopolitic og Information (1980)’ menyatakan bahawa Shramm dan rakan-rakannya, percaya bahawa kalau masyarakat di negara dunia ke-3 diurbanisasikan melalui pengaruh teknologi dunia yang maju akan meningkatkan kadar celik huruf dan apabila masyarakat ini boleh membaca, maka mereka boleh menggunakan informasi dan meningkatkan penggunaan informasi dan meningkatkan kadar perkapita. Ini akan mengakibatkan mereka mengambil tindakan demokratik dalam negara-negara itu dan meningkatkan kadar diterbitkan oleh UNESCO pada tahun 1980 dengan nama ‘Many Voice One World’. Menerusi laporan McBride telah berkembang secara pesat aliran bebas maklumat secara seimbang dan order baru maklumat komunikasi dunia (NWICO). Konsep atau prinsip aliran seimbang bertentangan dengan doktrin aliran bebas.

Namun bertentangan dengan pandangan pesimis yang menyatakan bahawa pembelian teknologi dari negara maju hanya akan menguntungkan negara dunia pertama itu. Ini kerana apabila Amarika Syarikat contohnya menjual satelit kepada negara-negara miskin mereka bukan hanya menjual satelit sahaja tetapi menjual secara pakej, contohnya iklan. Justeru itu negara dunia pertama beranggapan bahawa tiada produk yang hendak ditotonkan kepada masyarakat justeru memaksa negara dunia ketiga membeli program-program mereka pula walau pun ekonomi mereka tidak begitu stabil. Disebabkan tiada kedudukan ekonomi yang stabil juga menyebabkan kebergantungan membeli program dari negara luar berbanding membuat sendiri. Oleh itu pembelian alat teknologi secara berhutang dengan negara maju juga akan menyebabkan negara lebih mundur.

Perkembangan teknologi juga membawa keburukan selain kebaikan. Contohnya, Britian telah menguasai Negara India, China, dan Malaysia. Dalam jangka masa ini dikatakan bahawa firma-firma dan organisasai kian membesar dan akibatnya sistem monopoli berkembang dalam bentuk gabungan kesatuan pedagang-pedagang dan perusaan yang dinamakan CARTELS atau kumpulan perdagangan. Bila ini berlaku, banyak firma yang dibentuk dan keuntungan kian menurun. Dalam jangkamasa itu menerusi kolomalisme beberapa negara dunia ketiga yang bukan sahaja dijajah oleh Eropah tetapi turut dihubungkan secara ekonomi dengan negara Eropah ini. Menurut Rosa Luxembourg, proses eksplotasi melibatkan penggunaan tentera untuk menguasai kawasan jajahan, ini mungkin berlaku di awal penjajahan.

Mengikut konsep imperialisme pada masa sekarang telah wujud satu situasi ketidakseimbangan di mana terdapat satu sistem pertukaran yang tidak sama ataupun ‘unequal exchange’ dan ia berlaku di antara negara membangun dan maju. Perbadanan antarabangsa di negara membangun dan negara maju termasuklah EMI dan IBM yang telah terdapat satu perkembangan perhubungan dominasi dan pergantungan. Masalah laporan ini ialah terlalu menumpu perhatian terhadap sistem dominan negara maju terhadap negara mundur tanpa menganalisis kontradiksi- kontradiksi yang sedia wujud dalam setiap negara dan mengabaikan hubungan kuasa dan sistem hirarki dalam setiap negara membangun.

Prinsip NWILO berdasarkan kepada falsafah kedaulatan negara dan konsep budaya tulin. Falsafah kedaulatan negara ini berkaitan dengan daya usaha negara-negara yang telah merdeka di mana negara-negara ini hendak memperhebatkan tenaga mereka untuk memecahkan ikatan ekonomi dan budaya dengan negara-negara penjajahan. Pengimportan bahan-bahan media dari negara-negara maju akan menjejaskan perkembangan ekonomi mereka iaitu negara-negara membangun terpaksa membayar lebih untuk bahan import berbanding dengan bahan-bahan tempatan dan tidak setanding dengan apa yang di eksport dengan bahan media tempatan ke negara barat. Berlaku juga penjejasan perkembangan budaya akibat negara dunia ketiga menggunakan pengaruh teknologi dunia yang telah maju.

Perbadanan antarabangsa pun masih mendominasikan sistem dan praktis media negara membangun. Pergantungan negara dunia ketiga turut diperkukuhkan melalui pendidikan, latihan, penghasilan bahan media dan pemilikan industry media. Negara membangun terus mmbeli teknologi dari negara maju kerana titak mempunyai kewangan dan kepakaran untuk R&D. Maklumat dan budaya yang disebarkan oleh negara maju kepada negara dunia ketiga cenderung perkhidmatan komersial. Media tempatan negara dunia ketiga gagal bersaing dengan media maju dari negara-negara maju. Wujud bergantungan negara dunia ketiga terhadap budaya negara maju untuk mengisi slot program.

Oleh yang demikian, pemimpin daripada Negara dunia ke-tiga haruslah bijak mengambil keputusan dalam pembelian teknologi. Ini kerana pembelian teknologi melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Sememangnya teknologi diperlukan dalam sesebuah Negara tetapi penting juga dalam mempertimbangkan dari segi ekonomi, pembangunan dan penerimaan masyarakat pada masa itu. Ini penting kerana jika hanya mempunyai teknologi yang canggih tetapi masyarakat masih tidak bersedia menggunakannya jadi ia adalah tidak bernilai seterusnya membawa kepada pembaziran wang negara.


Rujukan:

http://ejerung.blogspot.com/2008/09/ketidakseimbangan-aliran-maklumat-cara.html
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1839&Itemid=77

Thursday, February 18, 2010


Dewasa ini perkembangan dan kemajuan teknologi informasi dan komunikasi telah berkembang dengan sangat pesat. Berbagai informasi dan kemudahan mudah diperoleh dari perbagai penjuru dunia. Pada Zaman Batu, teknologi informasi dan komunikasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak mungkin, tetapi kini ia telah menjadi satu kenyataan. Dengan adanya teknologi yang luas dan tanpa sempadan ini, kita harus menggunakannya dan memanfaatkannya dengan baik, khususnya dalam dunia pendidikan.

Sistem Pendidikan di Malaysia telah mengalami evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa iaitu Zaman Pramerdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka (1957-1970),Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara dari tahun 2001 sehingga sekarang.

Teknologi pendidikan atau teknologi pengajaran merupakan satu proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta bentuk, menilai dan mengurus penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah bermatlamat terkawal. Teknologi pengajaran juga boleh bermaksud sebagai alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di samping guru, buku teks dan papan hitam.
Secara mudahnya, teknologi pendidikan merujuk kepada proses pengajaran atau alatan yang dapat membantu guru ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Teknologi boleh jadi objek kebendaan seperti mesin atau perkakasan, tetapi ia juga boleh merangkumi maksud yang lebih luas, termasuk sistem, kaedah penyusunan, dan teknik.

Dalam menaikan taraf dalam sektor pendidikan di Malaysia, kerajaan telah menjalankan beberapa aktiviti dalam sektor tersebut, Sejak Rancangan Malaysia Kedua (1971 hingga 1975), Malaysia telah melaksanakan dasar pembangunan ke arah pembasmian kemiskinan dan pengurangan polarisasi sosio ekonomi khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar (Malaysia, 1971). Berdasarkan prinsip ini pelbagai usaha dijalankan untuk terus mendidik masyarakat bukan sahaja secara formal untuk generasi muda tetapi juga secara tidak formal dalam kalangan generasi dewasa. Pendidikan membolehkan setiap individu menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya mampu mengatasi ranjau dan rintangan-rintangan kehidupan.

Usaha kerajaan yang begitu gigih untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dapat dilihat menerusi pembentukan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, wilayah dan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk faedah rakyat. Tidak dapat disangkal kebenaran bahawa sebarang kejayaan dalam pembangunan dikalangan masyarakat adalah hasil daripada usaha-usaha kerajaan yang telah mempertingkatkan taraf hidup rakyat melalui pencapaian dalam bidang pendidikan, kesihatan, perindustrian, dan sebagainya. Buktinya, sepanjang tempoh dua setengah dekad semenjak tahun 1970, Malaysia telah mencapai kemajuan yang membanggakan dari segi pertumbuhan ekonomi sekaligus dapat memenuhi objektif sosialnya (Malaysia, 1999:4-5).

Dalam aspek pendidikan, Malaysia telah menyediakan sejumlah peruntukan yang besar untuk membangunkan tahap pendidikan pelajar di kawasan luar bandar khususnya di negeri-negeri tertentu. Di Kelantan misalnya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menerima peruntukan kira-kira RM54.6 juta daripada Kerajaan Pusat sepanjang tahun 2007 untuk diagihkan kepada lebih 170,000 murid dan pelajar miskin di seluruh negeri. Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.8 juta diagihkan bagi membantu 134,000 pelajar sekolah menengah yang dikategorikan miskin menerusi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sejak Januari lalu sehingga kini. Selain itu peruntukan berkenaan turut diagihkan bagi membantu 71,785 murid miskin Tahun 4, 5 dan 6 bagi mengikuti kelas tambahan menerusi skim baucer tuisyen. JPN turut menyenaraikan seramai 38,000lagi murid miskin dari seluruh negeri yang diberi dua lagi skim bantuan iaitu Rancangan Makanan Tambahan Sekolah Rendah (RMTSR) bernilai RM7 juta serta Program Susu Sekolah bernilai RM3.8 juta

Justeru, mantan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil inisiatif yang tersendiri dengan mengumumkan tujuh langkah “lonjakan perdana pendidikan luar bandar” bertujuan bagi mengurangkan jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar. Antara tujuh lonjakan tersebut ialah memantapkan perkhidmatan prasekolah di luar bandar dengan membina lebih 2,400 kelas yang akan memberi faedah kepada hampir 61,000 kanak-kanak di seluruh negara serta penyediaan latihan guru prasekolah dan kemudahan komputer di kebanyakan sekolah luar bandar. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga, telah memberi fokus dalam usaha bagi merapatkan jurang pendidikan.

Agenda merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar adalah penting kerana melibatkan jumlah sekolah yang besar iaitu sebanyak 5077 buah sekolah daripada 7513 buah sekolah rendah dan 792 dari 2045 sekolah menengah di kawasan luar bandar. Memandangkan pentingnya pembangunan pendidikan luar bandar, KPM telah bekerjasama dengan National Implementation Task Force (NITF) untuk menambah baik serta mendapat peruntukan tambahan di bawah Projek Berimpak Tinggi NITF.

Tambahan sebanyak RM2.6 bilion telah diperuntukkan di bawah Projek Berimpak Tinggi untuk merapatkan jurang pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Pembangunan infrastruktur ini dijangka akan memberi manfaat kepada 2.2 juta pelajar dan 14,000 guru di kawasan pedalaman (Kementerian Pendidikan Malaysia , 2007). Justeru, penekanan dalam aspek pendidikan sentiasa dititikberat memandangkan pendidikan mampu mengubah taraf hidup sesebuah masyarakat itu.
Selain daripada itu, Kementerian Pelajaran diperuntukkan RM31 bilion untuk menyediakan pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Sejumlah RM1.6 bilion disediakan bagi membiayai perluasan program sedia ada, iaitu pertambahan perjawatan berikutan pembukaan 26 sekolah rendah dan 41 sekolah menengah yang baru dan pertambahan perbelanjaan untuk penyelenggaraan, bantuan makanan, biasiswa, geran perkapita dan peralatan baru. Sejumlah 110 sekolah rendah dan 181 sekolah menengah baru akan dibina bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah dan menggantikan sekolah-sekolah yang telah usang. Di samping itu, RM615 juta disediakan untuk penyelenggaraan sekolah dan asrama bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih dan selamat. Peruntukan penyelenggaraan ini tidak boleh dipindahkan bagi tujuan lain. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, RM8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, RM627 juta kepada politeknik dan kolej komuniti serta RM37 juta kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti serta menyediakan latihan menyediakan latihan penyelidikan.

Penggunaan teknologi merupakan satu isu yang amat penting dibincangkan dalam pendidikan masakini. Jika suatu ketika dahulu pendidik lebih banyak bergantung kepada bahan yang diambil daripada buku teks, akhbar, majalah, buku rujukan dan pelbagai bahan bercetak untuk membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran tetapi kini kedatangan teknologi telah merubah teknik pengajaran dan pembelajaran dalam system pendidikan di negara kita. Jika hendak dibandingkan dengan perkembangan penggunaan teknologi komunikasi dalam pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan England ternyata penggunaan teknologi komunikasi di Malaysia baru berumur setahun jagung. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh BECTA (British Educational Communications and Technology Agency), teknologi komunikasi telah digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di England sejak 30 tahun yang lalu. Manakala di Malaysia, penggunaan teknologi komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak beberapa tahun yang lalu. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan dengan penggunaan teknologi komunikasi dalam sistem pendidikan di Malaysia sedikit sebanyak telah meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

Menurut Hansen V.P dan Zweng M.J (1984), dalam usaha menjadikan proses mengajar lebih efektif, dua konsep penting yang perlu ditekankan ialah menitik beratkan tentang konsep kelas sebagai proses yang menyeronokkan dan konsep pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Sehubungan dengan itu pengunaan teknologi-teknologi yang relevan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu mempertingkatkan kefahaman pelajar dari segi pencapaian akademik (Burton L. dan Jaworski B., 1995). Contohnya teknologi komputer dapat mempengaruhi kehidupan pelajar kerana ia dapat memperkembangkan minda pelajar untuk menjadi lebih kritis,kreatif serta lebih inovatif.


Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan ‘hands on’ dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat mengikut kapasiti masing-masing. Pengenalan kepada teknologi komunikasi telah membawa kepada sikap yang positif di kalangan pelajar. Ini kerana teknologi komunikasi menyediakan peluang yang luas dalam aktiviti pembelajaran berbanding dengan kaedah tradisional. Melalui penggunaan internet pelajar boleh menimba ilmu pengetahuan serta contoh-contoh yang praktikal.

Kemudahan hipermedia dan multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya menggunakan kaedah tradisional. Teknologi komunikasi menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif selain daripada menerima ilmu secara sehala sahaja. Sebagai contoh, kepentingan penggunaan teknologi dalarn pendidikan literasi Bahasa Melayu dewasa ini tidak dapat disangkal lagi. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi atau sesuatu alat bantu mengajar dalam bahasa sememangnya dapat membantu pencapaian pelajar menguasai aspek bahasa dengan lebih baik ( Dowling (1999), Giesert & Futrell (1990) dalam Mahzan Arshad, (2003).

Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa teknologi memberikan kesan yang signifikan terhadap pencapaian pelajar dalam penulisan, pembacaan dan penuturan, selain membantu pelajar memperoleh maklumat dengan lebih berkesan. lni kerana kesan daripada pemerolehan maklumat menerusi deria penglihatan adalah peratusan yang terbesar berbanding menerusi cara yang lain, iaitu 83 peratus dari jumlah semua deria yang digunakan. Hanya 11 peratus maklumat yang diberi dapat dicerap atau diterima pelajar apabila guru hanya menggunakan teknik syarahan sahaja. lni menunjukkan teknologi membantu merangsangkan semua deria pelajar, terutama deria penglihatan di mana kesannya lebih tinggi dalam proses pembelajaran berbanding lain-lain deria.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Sandholtz, 1997 (dalam Noraein Mansor, 1999), penggunaan teknologi di sekolah boleh mendorong memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Menurut beliau lagi, penggunaan komputer telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan. Heinich, 1993 (dalam Noraien Mansor, 1999) juga menjelaskan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik persembahan pengajaran. Malah, David Dwyer, 1996 (dalam Noraien Mansor, 1999) dalam kajiannya melaporkan bahawa teknologi merupakan media penggerak untuk pelajar berfikir dan bermuafakat. Malah penggunaan teknologi yang cekap dapat meningkatkan prestasi akademik pelajar dan menyokong pencapaian pembelajaran dalam abad ke 21.

Ini bermakna perkembangan teknologi komunikasi telah dapat mempengaruhi perkembangan mutu pengajaran dan pembelajaran dengan ciptaan peralatan serta perisian komputer yang canggih. Hanya melalui pendidikan, perbezaan jurang digital antara kaum dapat dikurangkan. Kebanyakan kajian yang dijalankan bagi menilai persepsi pelajar dan guru terhadap penggunaan komputer di sekolah dan institusi pengajian tinggi, menerima maklumbalas yang positif. Rata-rata golongan pelajar dan guru mengakui penggunaan komputer membantu meningkatkan taraf hidup (Ahmad Bakeri Abu Bakar, 2003) prestasi kerja, pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan komputer yang meluas serta perkembangan teknologi komunikasi hari ini banyak memberikan manfaat kepada para pendidik seperti mempelbagaikan bahan bantu mengajar (BBM), menyediakan Rancangan Pengajaran, merekod dan menyimpan maklumat pelajar, memproses markah ujian/peperiksaan, membuat semakan stok dan inventori peralatan/buku/BBM dan banyak lagi. Senario ini telah menimbulkan implikasi kepada pelaksanaannya di berbagai peringkat.

Proses pengajaran-pembelajaran dapat dipertingkatkan mutunya dan dipelbagaikan penyampaian dan penerimaannya melalui beberapa teknik seperti melalui sistem rangkaian (networking), perisian pangkalan data atau maklumat atau melalui sistem internet. Penggunaan alat bantu mengajar ini dikatakan dapat meningkatkan minat serta meransangkan minda pelajar di zaman siber ini dan telah dianggap dan diakui sebagai pemangkin proses pengajaran dan pembelajaran. Sebelum meneruskan perbincangan mengenai tajuk di atas ingin kami menarik perhatian mengenai teknik-teknik pembelajaran terkini seperti Project Based Learning, Interactive Learning, Hands-on Component, Access to Scientist, dan Virtual Reality seperti yang terdapat di Iowa State University. Peralatan dan perkakasan seperti CD-ROM Publishing, Assistive Technologies for Students with Disabilities, Electronic Whiteboard, Smart Board, Library Automation, Videoconferencing dan banyak lagi.
Semua ini adalah contoh-contoh yang melibatkan penggunaan teknologi canggih. Persoalannya apakah ia mampu dilaksanakan di Malaysia.

Untuk membolehkan penguasaan teknologi di dalam bidang pendidikan di Malaysia mencapai tahap mutu pendidikan setaraf dengan nagara maju memerlukan usaha yang berterusan oleh semua pihak. Pengetahuan dalam komputer adalah sesuatu yang mesti bagi semua pendidik di peringkat rendah dan menengah di Malaysia (Harper, Denis Owen, 1984). Apa juga permasalahannya kita perlu terima kerana ini adalah keperluan pendidikan dunia pada masa kini. Oleh yang demikian bagi menyempurnakan misi pendidikan untuk setaraf dengan negara maju maka kita perlu memastikan bahawa kita yakin dan boleh melakukannya.

Sebagai contoh setiap pensyarah perlu mengetahui ilmu berkaitan teknologi canggih samada secara persendirian atau melalui penajaan oleh kerajaan atau pihak swasta. Pensyarah perlu mahir dan menguasai teknologi yang digunapakai dalam pendidikan seperti “Project Based Learning. Melalui program ini, pengguna-pengguna seluruh dunia boleh mengakses laman ini secara online dan mereka boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman terkini sekaligus boleh meningkatkan mutu pendidikan di negara ini. Selain itu, pensyarah dan pelajar mahir menggunakan perisian dan perkakasan komputer di tahap yang terbaik. Analoginya mudah walaupun kita mempunyai kapal terbang paling canggih dan paling besar tetapi malangnya ketiadaan pemandu yang dapat mengendalikan pesawat itu dengan selamat dan selesa maka hasilnya tidak membawa apa-apa faedah melainkan kerugian harta benda negara. Buat masa ini masih didapati kesukaran untuk mengakses maklumat daripada laman-laman web dari Malaysia berbanding dengan negara lain yang setaraf khusus berkaitan pendidikan. Pada pandangan kami, ini berpunca daripada kurangnyanya profesional yang berupaya menyediakan tapak tersebut serta kandungannya lanjutan daripada kekurangan dalam modal insan.


Berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat, CAST telah mendapati pelajar yang mencapai Internet mampu menghasilkan projek sekolah yang lebih baik berbanding dengan para pelajar yang tidak memiliki Internet (Jamaludin Badusah et al. 2000). Ini membuktikan peranan Internet dalam pendidikan adalah sangat besar. Sesungguhnya, Internet berupaya mengangkat kemampuan dan kecermelangan para pelajar dalam pelajaran dan pembelajaran pelajar di Malaysia sekaligus meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

Kini pendidikan adalah isu global yang perlu diberi perhatian memandangkan kepentingannya membawa Malaysia ke arah pencapaian yang lebih cermelang. Untuk membekalkan kualiti pendidikan yang bertaraf antarabangsa demi melahirkan generasi baru yang bersifat inovasi, berfikiran saintifik serta berupaya berinteraksi secara efektif melalui teknologi-teknologi terbaru, khususnya Internet, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu sentiasa bertindak balas positif terhadap pembangunan teknologi terutama dalam pembinaan struktur pengajaran. Keperluan kepada penggunaan teknologi pendidikan berasaskan internet jelas menggambarkan betapa pentingnya pemelajaran elektronik dalam pendidikan kerana hal ni berperanan mentranformasikan Malaysia menjadi negara maju yang berorientasikan teknologi maklumat dan komunikasi.

Di Malaysia, bagi mewujudkan sebuah negara yang berasaskan teknologi maklumat dan selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai hasrat Wawasan 2020, para guru di negara ini haruslah peka terhadap penggunaan Internet, terutama untuk pengajaran dan pembelajaran. Menurut Weiss (2001) di dalam Nor Hazidah (2005) pula, penggunaan komputer dan Internet mampu mengubah banyak aspek penting dalam bidang pendidikan. Guru merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mengendalikan komputer dan melayari Internet. Oleh itu, mencari kaedah pembelajaran berkesan sering menjadi isu penting dalam bidang pendidikan.
Kini, mutu pendidikan di Malaysia bertambah baik dengan adanya teknologi bagi memudahkan para pendidik melakukan tugasan mereka agar memberi perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Malah, dalam bidang pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan alat pengupaya yang membolehkan pendidik memperolehi dan berkongsi maklumat, berkomunikasi dengan pantas tanpa batasan serta mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Kerjaya sebagai seorang guru pada zaman digital ini telah berubah mengikut keperluan semasa di mana teknologi maklumat dan komunikasi diintegrasikan dalam program latihan perguruan dan juga institusi-institusi pendidikan. Teknologi computer digunakan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran serta memudahkan komunikasi dalam kalangan guru.


Rujukan:

http://rismatp09.blogspot.com/
http://www.angelfire.com/bug/rangkaian0/kebaikan_internet.htm
http://mukhlisdwisaputra.blogspot.com/search/label/Pendidikan
http://eko13.wordpress.com/2008/04/12/potensi-teknologi-informasi-dan-komunikasi-dalam-peningkatan-mutu-pembelajaran-di-kelas/

Friday, February 12, 2010

Sejauhmanakah Teknologi Memberi Impak Kepada Dunia Pendidikan


Pada masa kini, perkembangan pesat dalam bidang teknologi telah membawa kebaikan kepada pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi juga membawa kesan yang buruk kepada sektor pendidikan. Isu ini juga merupakan isu yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Secara umumnya terdapat dua persepsi positif terhadap penggunaan teknologi dalam pendidikan. Pertama, dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian ilmu kepada pelajar dan kedua, menjimatkan kos.

Kesan positif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan

Pertama, penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya boleh mendapat perhatian daripada pelajar dan memudahkan mereka menyerap ilmu yang disampaikan oleh seseorang pengajar. Pada masa kini, boleh dikatakan peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda. Oleh itu, penggunaannya dalam bidang pendidikan dapat menjamin hasil yang memuaskan. Hal ini kerana penyampaian dapat dipersembahkan dalam bentuk visual yang menarik, animasi, 3D dengan suara yang dapat menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah. Ia juga dapat meringankan beban pelajar yang terpaksa mengalas beg yang penuh dengan buku ke sekolah sekiranya dapat digantikan dengan hanya beberapa keping CD-ROM pada masa hadapan.

Dari segi penjimatan kos pula, kos untuk mencetak buku dapat dijimatkan. Untuk memenuhi keperluan pelajar supaya setiap daripada mereka mendapat pinjaman buku teks, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi untuk mencetak buku teks tersebut. Dengan adanya teknologi, kerajaan dapat menjimatkan banyak kos sebab proses pembelajaran dapat dijalankan tanpa buku. Hal ini juga dapat mengurangkan penebangan pokok-pokok untuk membuat kertas. Dengan perlaksanaan pendidikan jarak jauh, ia dapat menjimatkan kos pembinaan universiti dan infrastrukturnya. Program ini memanfaatkan infrastruktur sedia ada di tempat yang lengkap dengan keperluan asas seperti kemudahan komputer dan internet. Pelajar hanya perlu pergi ke pusat tersebut pada hujung minggu untuk berbincang dengan pensyarah tentang khusus yang diikuti. Oleh itu, pelajar tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk kos pengangkutan dan tempat kediaman kerana mereka tidak perlu menghadiri kuliah di universiti.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan juga dapat menjimatkan masa pelajar dan memupuk sikap suka membaca dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi, apa-apa maklumat dapat diperoleh dengan mudah hanya dengan satu klik pada tetikus. Berbanding dengan pelajar pada masa lalu yang terpaksa mencari maklumat dengan cara manual dan bahan bercetak hanyalah satu-satunya harapan untuk mereka memperoleh maklumat yang diingini, pelajar sekarang mempunyai kelebihan dengan adanya kemudahan internet. Hal ini kerana selain daripada bahan bercetak, pelajar juga dapat memperoleh maklumat yang diingini melalui internet dengan cepat. Penggunaan media elektronik juga dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Sebagai bukti, untuk membolehkan kita mengikuti perkembangan semasa dan menimba ilmu pengetahuan melalui internet, kita perlu membaca. Segala maklumat yang dipaparkan melalui laman web adalah dalam bentuk tulisan dan untuk mengetahui maklumat tersebut, kita perlu mahir membaca. Secara tidak langsung, ia dapat memupuk sikap membaca dalam kalangan mereka.

Dengan adanya teknologi yang canggih, segala tugas dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul. Sebagai contoh, proses mencari maklumat, menyelesaikan tugasan yang diberi oleh pengajar dan lain-lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini merupakan kebaikan daripada perkembangan teknologi. Adanya teknologi multimedia menjadi semakin menarik kerana teknologi ini baru diperkenalkan pada tahun 1990-an walaupun sebelumnya sistem CAL (Computer Aided Learning) dan hiperteks masih terbatas dalam media yang terpisah-pisah belum digabungkan seperti multimedia yang memiliki makna gabungan pelbagai media; teks, suara imej, animasi dan video dalam satu perisian (Jacobs, 1992).

Menurut Evans dan Nation (2000), penggunaan inovasi teknologi baru termasuk internet telah banyak memberi sumbangan dalam pendidikan dan diantaranya adalah menyediakan peluang untuk penambahbaikan mutu pendidikan (Oliver and Short, 1997), menyokong untuk memenuhi kehendak individu dalam program pendidikan (Kennedy and McNaught,1997) dan menyediakan peluang untuk belajar dengan lebih luas dalam konteks sumber asli (Laffley, Tupper, and Musser, 1998).

Menurut Lowe (2002) pula, pelajar mendapat pembelajaran secara talian merupakan satu kaedah yang menyenangkan pembelajaran mereka. Melalui pembelajaran ini, pelajar boleh belajar di mana sahaja dan pada masa yang dipilih oleh pelajar itu sendiri. Hal ini membolehkan pelajar tersebut dapat menguruskan masanya dengan lebih efektif dan pada masa yang sama ia melibatkan penggunaan kos secara efektif. Pembelajaran secara interaktif melalui talian membolehkan pelajar menerokai maklumat baru menerusi perpustakaan digital ataupun di laman web. Apabila semakin banyak teknologi diperkenalkan dalam bidang pendidikan, pendidikan jarak jauh menyediakan satu cara untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan secara global. Kini, pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan.

Kesan nagatif penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa suatu perkara memang terdapat pro dan kontra. Begitu juga hubungannya antara penggunaan teknologi komunikasi dalam bidang pendidikan. perkembangan teknologi banyak membantu dalam dunia pendidikan dewasa ini, namun perkembangan teknologi ini juga mendatangkan beberapa keburukan. Terdapat pelbagai isu dan masalah yang timbul berhubung dengan penggunaan teknologi komunikasi seperti internet dikalangan pelajar dan guru untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang banyak di internet yang tidak ditapis akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan khususnya kepada pelajar, yang menjadi antara golongan pelayar internet teramai di Malaysia . Terdapat banyak maklumat yang tidak sesuai seperti maklumat seks, hasutan, khabar angin, diskriminasi, dadah, promosi keganasan dan penderaan, perjudian dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang telah dijalankan di Amerika yang mendapati 48% guru sukar mencari laman web yang bersesuaian untuk proses pengajaran dalam kelas.

Disamping itu, kebanyakan isi kandungan yang dipaparkan di internet tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana, seperti yang kita tahu, medium teknologi komunikasi seperti internet tidak dikawal oleh sesiapa dan semua orang mempunyai hak untuk menulis dan menyiarkan sebarang maklumat di internet. Maklumat ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya pelajar tidak dapat membezakan antara maklumat yang betul dan yang salah. Ini akan menjejaskan matlamat pengajaran dan pembelajaran melalui internet. Oleh sebab itu, guru perlu berupaya menilai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai media dan sumber serta berupaya membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapatkan maklumat yang tepat dan betul. Kemudahan yang disajikan oleh teknologi komunikasi dalam dunia pendidikan memberi keburukan kepada pelajar.

Dewasa ini, para pelajar tidak lagi kreatif dalam memberikan idea-idea sendiri dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, teknologi komputer telah menjadikan kerja-kerja penyalinan maklumat dengan begitu senang dengan hanya menggunakan arahan file dan hanya dengan menekan “copy” and “paste”, semua kerja sudah siap tanpa perlu bersusah payah memerah otak. Walaupun teknologi membawa kemudahan dalam sistem pendidikan hari ini, namun ada juga keburukannya dimana pelajar yang selalu mengakses internet, sebagai contoh lebih tertarik untuk duduk di hadapan komputer tanpa memikirkan kehidupan sosial samada dalam keluarga atau masyarakat. Senario ini akan menyebabkan pelajar menjadi pasif dan kurang berkomunikasi antara satu sama lain sedangkan untuk menjadi seorang yang berdaya saing mereka pelu berupaya untuk memberikan idea-idea yang bernas dan berkualiti bagi memantapan dan pembangunan kejayaan mereka.

Masalah plagiarisme juga boleh berlaku tanpa disedari oleh seseorang pelajar. Pelajar sekarang suka ’copy-paste’ maklumat yang dicari dari internet tanpa menyedari sama ada ia telah melanggari hak-hak pengeluar maklumat tersebut. Masalah ini diburukkan dengan wujudnya maklumat yang berlambak dalam internet yang senang diperoleh oleh seseorang pelajar hanya dengan satu klik tanpa diketahui oleh pengeluar maklumat tersebut

Selain itu teknologi yang digunakan untuk tujuan pendidikan ini juga memupuk sikap malas dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi yang canggih, kebanyakan tugas yang memerlukan kemahiran seperti melukis, mengira, menulis telah diselesaikan oleh komputer. Pelajar sekarang akan menjadi lebih malas dan kehilangan kemahiran-kemahiran tertentu dengan meningkatnya kebergantungan kepada komputer. Sebagai contoh, menaip dan mengira dengan menggunakan komputer dan mesin kira akan menyebabkan kemahiran menulis dan mengira pelajar merosot.

Masalah komunikasi dan plagiarisme juga boleh berlaku dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Dari segi komunikasi, terutamanya mereka yang mengikuti program pendidikan jarak jauh, masalah komunikasi antara pelajar dan pensyarah mungkin wujud kerana mereka dijarakkan dengan sebuah komputer. Ia boleh menggalakkan komunikasi yang pasif antara pelajar dan pensyarah mereka. Fikirkan seorang pensyarah yang terpaksa berhadapan dengan banyak pelajar dalam satu masa melalui komputer,tidak mungkin dia boleh memberi perhatian yang sepenuhnya kepada seseorang pelajar dan menjawab persoalan yang dikemukakan dalam masa yang sama.

Daripada pandangan pesimis,isu kos yang dibincangkan oleh golongan optimis memberi penjimatan terhadap pengguna. Menurut pandangan golongan pesimis penjimatan kos juga tidak akan berlaku sekiranya pelajar menggunakan kemudahan komputer, internet secara berleluasa. Contohnya penggunaan komputer dan internet digunakan terlalu lama sehingga menaikkan bil elektrik selain harus membayar kemudahan internet yang digunakan.

Pendidikan jarak jauh

Dari segi perlaksanaan pendidikan jarak jauh, ramai yang mempersoalkan kualiti pelajar yang dihasilkan melalui program ini. Persoalan yang membimbangkan itu memang ada asasnya. Disebabkan pelajar program ini tidak perlu menghadiri kuliah di kampus, maka persaingan antara pelajar boleh dikatakan tidak wujud kerana mereka tidak dapat menyaksikan aktiviti dan kesungguhan pelajar lain mengikuti kuliah, tutorial dan mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Kekurangan persaingan menyebabkan sesetengah pelajar menjadi lalai, malas dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap khusus yang diikuti. Keadaan ini berbeza dengan pelajar yang terpaksa menghadiri kuliah setiap hari yang boleh menyaksi sendiri kesungguhan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dalam proses pembelajaran dan seterusnya menjadi satu motivasi untuk mereka belajar dengan baik.

Namun menurut pandangan optimis pula pendidikan jarak jauh ini memberi peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka. Oleh itu penggunaan teknologi akan memberi kemudahan mereka mengakses ilmu. Bersesuaian dengan zaman globalisasi apa jua boleh didapati melalui hujung jari anda.

Pendaftaran secara online

Antara lainnya pula, penggunaan teknologi memudahkan institusi pendidikan untuk pendaftaran pelajar secara online. Usaha ini dapat mengurangkan kos kerana pendaftaran secara terus akan melibatkan kos yang agak besar dari segi perancangan dan perlaksanaan program terutama melibatkan institusi pendidikan awam. Tetapi ada juga pendapat bahawa pendaftaran secara online hanya akan meyebabkan keciciran pelajar yang cemerlang dari luar bandar. Ini kerana mereka kurang pendedahan dalam penggunaan teknologi, seteusnya tidak tahu mendaftar secara online menyebabkan mereka tidak dapat meyambung pelajaran ketahap lebih tinggi.

Cadangan/ pendapat

Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin meluas pada masa kini. Ia akan memberi kesan terhadap apa yang dipelajari dan bagaimana pelajar belajar sama ada baik ataupun buruk. Oleh itu kesan baik dan buruk penggunaan teknologi dalam pendidikan harus dipertimbangkan sebelum perlaksanaannya. Persoalan seperti di mana dan bagaimana kita menggunakan teknologi maklumat harus dijawab dan bukannya kita harus atau tidak harus menggunakannya.

Rujukan
http://en.wikipedia.org/wiki/Computer-assisted_language_learning
http://en.wikipedia.org/wiki/3D_computer_graphics_software
http://www.pendidikanjarakjauh.com/blog-tentang-pendidikan-jarak-jauh/
http://wiki.answers.com/Q/Apa_kebaikan_dan_keburukan_internet

Thursday, February 4, 2010

Belia, Teknologi & Jenayah Siber


Pada masa kini, internet merupakan sumber maklumat yang amat popular dan penggunaannya semakin meluas dalam sesebuah negara terutamanya dalam kalangan remaja. Kemunculan internet telah menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Pelbagai maklumat, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui internet. Sumber maklumat tersebut bukan sahaja dapat dilayari melalui komputer peribadi di rumah, tetapi juga boleh diikuti melalui telefon bimbit khas yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Memandangkan penggunaan internet begitu berleluasa dan sukar dikawal, dikhuatiri kesan negatifnya akan menular dalam masyarakat. Isu yang panas diperbincangkan tentang penyalahgunaan internet sebagai sumber maklumat ialah jenayah siber. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan jenayah siber? Secara umumnya, ia ialah aktiviti jenayah yang dilakukan melalui internet. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula mendefinisikan jenayah siber adalah mana-mana aktiviti tidak sah di mana pengetahuan mengenai teknologi komputer digunakan untuk merealisasikannya.

Terdapat pelbagai jenis jenayah siber dewasa ini seperti penipuan kad kredit, mencuri maklumat identiti seseorang dan menggodam laman web, pengubahsuaian keatas program atau data komputer, kecurian maklumat, capaian secara tidak sah keatas sistem, menyalin perisian secara tidah sah, pengintipan , judi siber, pornografi, penggodam atau "Hacker" dan penyebaran virus merupakan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Menurut Pavan Duggal, presiden cyberlaws.net dan konsultant, jenayah siber secara asasnya dapat dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu jenayah siber bertentangan dengan perseorangan, jenayah siber bertentangan dengan harta benda dan jenayah siber bertentangan dengan kerajaan. Kategori pertama termasuklah penyebaran pornografi kanak-kanak, gangguan seksual ke atas seseorang melalui e-mail dan lain-lain lagi.

Kategori kedua termasuklah vandalisme komputer iaitu merosakkan harta benda orang melalui teknologi dan penyebaran program-program yang berbahaya. Kategori ketiga termasuklah menggunakan blog dan e-mail untuk memburuk-burukkan sesebuah kerajaan melalui penyebaran khabar angin. Jenis jenayah siber yang biasa kita dengar ialah seperti penipuan, pengubahsuaian ke atas program atau data komputer, kecurian maklumat, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, penggodam atau hacker, penyebaran virus dan siber seks. Kita mungkin akan berhadapan dengan bentuk jenayah baru selaras dengan kepesatan perkembangan teknologi kini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya. Mereka menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007. Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907 kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).

Dari segi data statistik tentang jenayah siber dalam kalangan remaja, menurut Ipsos for Business Software Alliance. "Public Affairs Study Fact Sheet," March 2007, lebih daripada separuh daripada pelajar kolej atau universiti yang download perisian tanpa lesen telah mengalami virus computer, spyware, dan impak-impak yang negatif, di mana 55% mengalami masalah virus dan spyware, 20% mengalami masalah hardware, dan 18% mengalami kehilangan dokumen dan fail.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Internet Security firm Trend Micro di Britain, lebih daripada 10% belia berumur 12 hingga 18 tahun menyatakan bahawa penyamaran sebagai seseorang dalam internet merupakan sesuatu yang menyeronokkan di mana satu daripada 7 belia berumur antara 12 hingga 13 tahun mengaku mereka telah melakukan hal demikian. Satu pertiga daripada 1000 orang belia yang dikaji menyatakan bahawa mereka sanggup melakukan aktiviti menggodam dan pengintipan online demi wang. 40 % daripada mereka mengaku bahawa mereka telah masuk ke dalam social networking orang lain dan peratus belia yang sama telah akses ke dalam akaun perbankan online orang lain.

Pengkaji juga mendapati bahawa ibu bapa mereka telah menjadi contoh yang buruk kepada mereka di mana satu daripada tiga orang turut menggodam nombor akaun orang lain. Daripada data-data tersebut, boleh disimpulkan bahawa masalah jenayah siber semakin menjadi dalam kalangan belia dan boleh dikatakan lebih daripada setengah daripada mereka tidak menyedari bahawa perbuatan mereka salah di sisi undang-undang.

Jenayah Siber Seks

Apa yang dimaksudkan dengan jenayah siber seks adalah,gambar atau paparan yang mengenai tubuh manusia secara terang-terangan yang memeparkan tubuh manusia yang boleh mendatangkan kegaiharan dan perilaku seksual manusia. Filem-filem yang berunsurkan lucah ini kadang-kala menayangkan adegan seksual dari segi foto, teks bertulis, suara, nafas dan yang paling mengjengkelkan lagi ialah imej bergerak.

Virus

Virus merupakan suatu bentuk binatang hidup di alam siber. Walaupun ia tidak dapat disentuh di dunia nyata akan tetapi kewujudan virus ini di alam siber amat utuh. Sehingga sekarang masih belum ada penentang virus yang boleh membunuh virus yang amat berbahaya di alam siber ini. Malah, kewujudan virus ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Virus ini dikatakan boleh memusnahkan maklumat, fakta mahupun apa sahaja input yang ada di dalam komputer dalam sekelip mata. Virus ini juga boleh dikatakan seperti pepatah melayu iaitu ’api dalam sekam’. Kewujudan virus ini amat berbahaya sekali.

Penggodam / Hacker

Penggodam atau ‘hacker’ iaitu seorang yang mencipta dan mengubah suai perisian dan perkakasan komputer, termasuklah pengaturcaraan komputer, pentadbiran, dan urusan-yang berkaitan dengan keselamatan.Dalam pengaturcaraan komputer, penggodam ialah seorang pengaturcara yang menggodam atau mencapai matlamat dengan menggunakan satu siri pengubahsuaian untuk mengeksploit atau melanjutkan kod atau sumber.

Kecurian boleh berlaku dalam berbagai bentuk iaitu fizikal dan maklumat. Terdapat berbagai kaedah kecurian dalam bentuk fizikal yang telah berlaku. Ada di antaranya yang lambat dikesan kerana kecurian dilakukan pada komponen dalam sesuatu komputer. Kebanyakan kecurian yang telah dilaporkan melibatkan kecurian RAM, penukaran harddisk/CDROM drive atau ada kes yang melibatkan papan induk (mother board) computer itu sendiri. Kecurian maklumat pula lebih susah dikesan kerana ia dilakukan dengan kaedah menyalin maklumat tersebut kepada media lain.

Ini mungkin dilakukan kepada sistem yang mengandungi maklumat penting yang tidak mempunyai kaedah capaian maklumat yang menggunakan kekunci tertentu atau media simpanan maklumat tidak disimpan pada tempat terkunci. Oleh itu, sistem kunci masuk ke makmal-makmal komputer atau ke bilik komputer perlu dikaji semula akan keberkesanannya. Kebanyakan mereka ini adalah remaja ataupun dalam lingkungan 20-an. Mereka menyerang sistem hanya sekadar suka-suka dengan mencuba ilmu yang baru mereka pelajari.

Contoh kes yang membabitkan ‘hacker’ ialah Jeffrey Peters-Jtei/ CPU Solution. Beliau terbabit dalam banyak kegiatan jenayah pengkomputeran dan di antara orang penting yang bersekongkol dengan penjenayah yang menggangu "ISP" di Rusia. Antara kebolehannya yang paling ketara spammer FLORIDA ini ialah memalsukan dokumen-dukomen penting.

Jenayah Cetak Rompak

Kemunculan penerbitan cetak rompak sebagai alat telekomunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang merosakan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga software cetak rompak disebarkan melalui Internet.

Wujudnya gejala cetak rompak perisian komputer melibatkan pelbagai industri termasuk pembuatan, pelancongan, media, peruncitan, kejuruteraan dan landskap.Ia membabitkan perisian perniagaan bagi mengedit gambar, reka bentuk, animasi, pelindungan antivirus, sistem operasi dan pemprosesan milik anggota BSA seperti Autodesk, Adobe, Macromedia dan Symantec. Selain itu, wujudnya plagarisme dalam percetakan buku-buku yang diterbitkan secara berleluasa tanpa mendapat kebenaran bagi pihak berkuasa dan penerbit. Hal ini dapat dilihat di sesetengah pusat pengajian tinggi dan pusat-pusat tuisyen yang sedikit sebanyak memberi kesan buruk ke atas periuk nasi sesetengah pihak.

Contoh kes:

(KOSMO Sabtu 25 September 2004) KUALA LUMPUR, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat dakwaan wujudnya penglibatan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menjadi pengedar cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) lucah cetak rompak. Rabu Disember 9, 2009 Pemilik Bistro Hadapi Denda RM20 Juta di Pulau pinang: Seorang pengusaha bistro berdepan dengan hukuman denda RM20 juta selepas didapati memiliki sebuah set karaoke yang mengandungi 10,000 salinan cetak rompak lagu tempatan dan antarabangsa di Seberang Jaya.

Akta

Peningkatan kadar jenayah siber telah menyebabkan beberapa akta digubal.Diantaranya ialah Akta Jenayah Komputer 1997 yang berkaitan dgn kesalahan berkaitan penyalahgunaan komputer untuk tujuan melakukan jenayah.Akta ini telah diluluskan di Parlimen pada Mac 1997 (Dikuatkuasa pada 1 Jun 2000).Tujuannya ialah untuk mengawal perlakuan jenayah yang dilakukan menggunakan komputer secara terus atau melalui talian.

Di bawah akta ini, akses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data yang terdapat di dalam sesebuah komputer adalah salah dan boleh dikenakan hukuman. Akta ini juga berkesan kepada apa-apa jenayah yang dilakukan di luar Malaysia walaupun kesalahan tersebut dilakukan oleh seseorang atau dari sesuatu tempat di luar Malaysia selagi mana komputer, program atau data tersebut adalah berada di Malaysia atau boleh dicapai, dihubungkan atau digunakan dengan komputer di Malaysia.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan satu Akta berkenaan undang-undang siber dan dibentuk sebagai satu rangkakerja bagi campurtangan kerajaan Malaysia dalam memantau industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuk penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.

Akta lain yang terlibat dengan isu ini ialah Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Hakcipta (pindaan) 1997, Akta Teleperubatan 1997, dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.Polis turut menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Teknologi di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menangani masalah ini.

Kesimpulannya, dalam dunia tanpa sempadan sekarang undang-undang siber tidak boleh kita harapkan untuk melindungi kita dari ancaman jenayah komputer.Serangan mungkinboleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, beribu-ribu batu jauhnya ataupun dari orang yang di sebelah kita dan amat malang sekali kita sukar mengenali siapa mereka dan dari mana mereka menyerang kita. Walau bagaimanapun kita kena mengambil langkah untuk melindungi sistem komputer kita sendiri. Lengkapkan diri kita dengan ilmu tentang komputer dan mungkin kita boleh lindungi sistem komputer kita dengan perisian yang ada di pasaran seperti anti-virus, firewall, pop-up blocker, anti-spyware dan apa saja perisian keselamatan yang lain.

Pendapat kami mengenai isu ini ialah:

Dalam dunia tanpa sempadan, kita harus mengambil langkah untuk melindungi sistem komputer kita sendiri kerana serangan mungkin dilakukan oleh orang dari jauh mahupun dekat dengan kita melalui dunia siber. Kita harus ingat bahawa internet diakses oleh berbillion-billion orang di dunia ini yang terdiri daripada kategori yang baik mahupun buruk. Oleh itu, kita harus ambil langkah berjaga-jaga seperti jangan berkongsi maklumat peribadi termasuklah nama penuh, alamat rumah, nombor telefon, nombor kad kredit dengan orang yang tidak dikenali, jangan mendedahkan kata laluan internet dengan sesiapa, berhati-hati ketika berjumpa dengan orang yang hanya dikenali melalui internet dan jika boleh, berkongsi apa yang anda lakukan dan sesiapa yang anda kenal melalui internet dengan ibu bapa anda. Kita juga harus lengkapkan diri kita dengan ilmu tentang komputer untuk melindungi kita daripada masalah-masalah seperti penyebaran virus dan penggodam.


http://www.ytrg.terengganu.gov.my
http://www.wikipedia.org/wiki/Jenayah_siber
http://www.wikipedia.org/wiki/Penggodam
http://www.wikipedia.org/wiki/Virus_komputer
http://www.wikipedia.org/wiki/Cetak_rompak
http://www.wikipedia.org/wiki/Akta_Jenayah_Komputer_1997
http://www.wikipedia.org/.../Akta_Komunikasi_dan_Multimedia_1998
http://www.wikipedia.org/wiki/Akta_Tandatangan_Digital_1997