Thursday, January 28, 2010

BELIA vs PERNIAGAAN ONLINE


Revolusi teknologi komunikasi telah mencetuskan era maklumat yang akan membawa perubahan secara menyeluruh dan dramatik kepada belia. Dengan teknologi maklumat, belia berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan sekaligus merubah tatacara dunia dalam konsep global. Melalui internet atau lebih dikenali sebagai e-dagang atau perdangangan elektronik, pada masa kini telah menjadi seperti trend. Ramai belia menjadikan internet sebagai saluran untuk memulakan perniagaan pada kos pada kadar yang minimum. Rangkaian sosial seperti Myspace dan Facebook dijadikan sebagai percubaan bagi yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian ini. Mereka tidak memerlukan modal yang besar untuk menyewa kedai, membeli kelengkapan dan sebagainya. Para belia hanya perlu memiliki sebuah komputer dan kebolehan sebagai asset utama untuk memulakan perniagaan.

Jika dilihat dalam aspek kehidupan sekarang, semua orang mahu menjalankan rutin dan aktiviti dengan cepat dan cekap. Oleh itu, perniagaan melalui internet merupakan salah satu caranya. Ini kerana perniagaan ini tidak memerlukan peniaga berjumpa dengan pelanggan secara “face-to-face” untuk melakukan perniagaan. Menjimatkan masa bukan? pencemaran juga boleh dielakkan. Segala urusan dilakukan dengan menggunakan rangkaian internet sahaja. Malah, urusan pemindahan wang juga boleh dilakukan dengan hanya satu klik sahaja. Tidak perlu beratur. Sudah mudah, efisien pula. Ini adalah satu peluang keemasan bagi para belia merebut peluang melalui teknologi komunikasi yang disediakan.

Kekuatan Dan Kunci Kejayaan Melalui Perniagaan Online

Terdapat pelbagai kekuatan dan kunci kejayaan dalam perniagaaan online. Antaranya adalah ia membolehkan penjual produk memperdagangkan produk mereka secara cepat dan mudah disamping dapat memasuki pasaran global. Ini kerana internet berupaya mencapai khalayak pengguna yang lebih besar iaitu lebih daripada 60 juta dalam masa yang singkat. Contohnya dengan menggunakan bisnes online banyak syarikat kecil dapat memasuki pasaran yang luas serta dapat menjana keuntungan syarikat.

Selain itu pengeluar produk juga akan mendapat keuntungan yang lebih optimum kerana mendapat sasaran pasaran yang lebih luas. Keuntungan optimum dapat dicapai dengan tidak menggunakan perkhidmtan orang tengah dalam urus niaga barang dan perkhidmatan.
Dari aspek lain pula pengguna juga akan mendapat keuntungan kerana pembelian terus kepada pengguna dapat mengelakkan pembayaran komisen kepada orang tengah. Oleh itu laman web ini penting dalam menghubungkan antara pembeli dan pengeluar.

Walaupun terdapat pelbagai kekuatan atau kelebihan bisnes online, sebenarnya kunci utama kejayaan seorang usahawan dalam memasarkan produk atau perkhidmatan secara online adalah daya usaha mereka dalam memastikan output yang ditawarkan adalah berkualiti. Selain itu menjalankan bisnes secara online juga memerlukan peniaga sentiasa melihat perkembangan laman web mereka supaya segala pembelian daripada pelanggan dapat dihantar secepat mungkin. Kepuasan pelanggan akan membuatkan pelanggan setia terhadap produk atau perkhimatan yang ditawarkan.

Cabaran Yang Perlu Dihadapi Dalam Perniagaan Online

Walaupun perniagaan online dikatakan mempunyai banyak kebaikan berbanding dengan perniagaan tradisional dan mungkin menggantikan perniagaan tradisional pada masa hadapan, ia masih mempunyai banyak kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang yang menjalankan perniagaan online. Menurut kajian yang dijalankan oleh Harmony Hollow Software pada tahun 2006, kekangan utama online business ialah rintangan kepada teknologi baru, kekurangan pelanggan potensi, kesukaran perlaksanaan, masalah sekuriti, kekurangan kemahiran teknologi dan masalah kos.

Daripada faktor-faktor tersebut, dapat pula dibahagikan kepada kekangan dari segi teknologi dan bukan teknologi. Dari segi teknologi, ‘Software Development Tools’ masih lagi dalam peringkat perkembangan. Hal ini bermaksud teknologi berkembang dari semasa ke semasa dan seseorang yang terlibat dalam online business perlu sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dan melakukan pembaharuan selaras dengan perkembangan tersebut. Kedua, ‘internet accessibility’ masih lagi mahal dan tidak mudah. Hal ini menyebabkan sesiapa yang ingin menjalankan online business menghadapi masalah dari segi kos.

Kebanyakan masalah atau kekangan dalam online business datang dari kekangan bukan teknologi. Pertama, dari segi keyakinan dan kepercayaan para pengguna terhadap online business. Ada sesetengah pelanggan yang kurang berkeyakinan tentang transaksi yang dijalankan tanpa kertas dan tanpa bersemuka dengan penjual. Selain itu, sesetengah pelanggan lebih suka menjalankan aktiviti pembelian di kedai biasa di mana mereka boleh merasai dan menyentuh produk-produk yang ingin dibeli daripada online business yang produk-produk hanya dipersembahkan dalam bentuk gambar dan visual sahaja. Kekangan ini menjadikan online business masih kurang popular dan sukar dilaksanakan, terutamanya di negara-negara yang kurang maju di mana rakyatnya masih kekurangan pengetahuan tentang teknologi. Masalah ini banyak membawa kepada kegagalan perlaksanaan online business.

Kegagalan yang dihadapi oleh banyak ‘dot-coms’ seperti webvan.com, boo.com dan lain-lain lagi patut dijadikan pengajaran kepada para peniaga online. Kebanyakan penubuhan online business menghadapi masalah kesukaran untuk mendapat modal disebabkan para pelabur mempunyai sikap was-was terhadap kegagalan tersebut. Isu penipuan, sekuriti, keselamatan dan kerahsiaan juga menjadi isu-isu yang diambil berat oleh para pelanggan yang terlibat dalam online business. Oleh itu, isu-isu tersebut juga menjadi cabaran kepada sesiapa yang ingin menubuhkan online business, terutamanya masalah hackers, virus, penyalahgunaan maklumat peribadi pelanggan yang menjadi isu-isu utama dalam bidang teknologi sejak kebelakangan ini. Hal ini akan mengurangkan keyakinan mereka terhadap online business jika tidak ditangani dengan baik.

Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 90 peratus termasuk para belia terkandas dalam perniagaan melalui internet. Ini berlaku kerana para belia menyangkakan bahawa perniagaan ini mudah dijalankan dan tidak memerlukan perancangan perniagaan dengan teliti mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan. Hal ini menyebabkan kebanyakan perniagaan talian ini tidak mampu bertahan lebih lama. Selain itu, penipuan juga mudah berlaku. Hal ini kerana belia tidak tahu dengan siapa mereka berurusniaga. Malah, mereka juga cepat percaya dengan pelanggan-pelanggan mereka yang tidak diketahui latar belakangnya. Seterusnya, hal ini akan mengundang kerugian kepada mereka dan mungkin terpaksa menggulung tikar. Justeru itu, para belia haruslah berhati-hati dalam perniagaan menerusi internet dan juga haruslah berfikir panjang sebelum memulakan sesuatu perniagaan.

Faktor Seseorang Berjaya Dalam Perniagaan Online

Menurut buku the Millionaire's Mind tulisan Dr Thomas Stanley yang memuatkan tinjauan yang dijalankan keatas beribu jutawan berkemahiran menjual produk dan idea sendiri. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kebanyakan jutawan belia datangnya dari bidang perniagaan. Sebagai usahawan, apa yang penting adalah kebolehan seseorang itu menjual produk dan idea mereka. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dalam perniagaan online bukanlah mudah. mereka memerlukan kredibiliti tersendiri seperti :

Cekap dalam pengurusan :
Mencapai tahap jutawan, bukanlah one-man-show. Sering kali memerlukan bantuan orang lain. Usahawan perlu cekap dalam menguruskan diri, perniagaan dan juga orang lain. Pengurusan yang cekap akan menentukan segala keraja berjalan dengan lancar.

Mempunyai semangat persaingan yang tinggi :
Seringkali dalam mencapai kejayaan, kita perlu bersaing sama ada dalam perniagaan atau dalam tangga koprat. Namun begitu, persaingan yang paling penting sekali adalah persaingan dengan diri sendiri, iaitu untuk mencapai kejayaan yang lebih daripada pencapaian kita sebelum ini setiap masa.

Mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi :
Pepatah berbunyi "Leaders are readers", mereka yang memimpin selalunya banyak membaca untuk menambahkan ilmu dalam bidangnya tersendiri. Dengan ilmu, ia akan memudahkan kita mengurus dan mengetuai industri kita.

Bekerja lebih keras berbanding dengan orang lain :
Untuk mencapai jutawan, seseorang itu perlu keluar dari kepompong kebiasaan dan bekerja lebih keras berbanding orang lain.

Berdisiplin :
Menjadi ketua perlu disiplin yang kuat oleh kerana kita tidak mempunyai orang atasan. Sebagai contoh, sekiranya menjalankan perniagaan, usahawan tidak perlu menjawab kepada sesiapa pun. Dirinya adalah ketua kepada perniagaan sendiri. Tanpa disiplin, pastinya tidak dapat menguruskan perniagaan dengan betul dan lancar. Orang ramai sering mengaitkan menjadi usahawan boleh banyak berehat dan bersantai. Pastinya dengan lebih banyak pendapatan, maka lebih banyak tanggungjawab atas karier dan perniagaan. Maka disiplin diri adalah penting untuk memastikan segalanya berterusan.

Jujur dengan semua orang :
Jujur adalah faktor utama dalam mencapai kejayaan sebagai seorang jutawan.

Usahawan Belia Yang Berjaya Dalam Perniagaan Online

Irfan Khairi antara contoh belia yang berjaya mencapai status jutawan internet pada usia 25 tahun. Beliau mula menjalankan perniagaan melalui internet sejak tahun pertama menjadi penuntut di Birmingham University. Menurut beliau, pada tahun pertama, tiada keuntungan dapat dijana kerana pada masa itu, ilmu tentang perniagaan online terlalu cetek. Oleh itu, beliau mula menghadiri kursus dan membuat rujukan melalui bacaan bagi memahirkan diri dalam internet. Masuk tahun kedua, perniagaan beliau mula membawa pulangan. Pada ketika itu, beliau menawarkan khidmat grafik seperti mereka bentuk kulit buku, poster dan kain rentang. Pada tahun keempat menjalankan perniagaan melalui internet, beliau tidak menyedari dirinya bergelar jutawan apabila berjaya mengumpul lebih RM 1 juta. “Kalau orang fikir dalam masa empat tahun saya mendapat RM 1 juta itu senang, sebenarnya sangkaan itu salah. Dari jam 9 pagi hingga 5 petang saya bekerja makan gaji. Selepas pulang pada kerja , saya menguruskan perniagaan internet hingga jam 2 atau 3 pagi. Semuanya memerlukan pengorbanan. “Saya sentiasa membawa Komputer riba ke mana-mana dan cari hotel yang ada akses internet kalau pergi melancong. Perniagaan ini boleh dijalankan di mana- mana, sekalipun ketika melancong,” katanya.

Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. perniagaan internet memberikan beliau 90% rezeki tanpa perlu bersemuka dengan para pelanggan. Inilah salah satu kelebihan perniagaan internet, katanya. Setelah berkecimpung di dalam bidang perniagaan internet menerusi penjualan e-book secara sepenuh masa selama hampir empat tahun, beliau memanjangkan langkah perjuangannya dengan berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran bersama rakyat Malaysia yang berminat dan serius untuk membina perniagaan Internet mereka sendiri atau sekurang-kurangnya menjana pendapatan tambahan melalui internet.

Hasil perbincangan ahli kumpulan, kami menyimpulkan bahawa jika suatu ketika dahulu, sukar bagi belia menjadi usahawan dengan titik peluh dan kepintaran sendiri, kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Namun berbeza dengan hari ini, sesiapa juga mampu menjadi usahawan tanpa mengira usia asalkan ada kemahuan untuk meneroka potensi diri. Namun, kepada belia-belia yang ingin terlibat dalam online business dinasihatkan mengambil pengajaran daripada isu-isu kegagalan dot-coms dan mengambil kira kekangan dan cabaran yang akan dihadapi sebelum menubuhkan sesebuah online business. Janganlah dikaburi dengan contoh-contoh online business yang berjaya dan keuntungan sehingga melaksanakan online business tanpa rancangan yang baik.

Bagaimanapun, kejayaan-kejayaan yang dinikmati oleh usahawan-usahawan internet hari ini haruslah dijadikan pemangkin kepada semangat untuk terus berusaha mencapai impian yang dihajati. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Perniagaan online bukan satu situasi mudah iaitu peluang untuk buat duit tanpa memahami liku-liku bidang tersebut dan tanpa persiapan dan persediaan yang mantap dan menyeluruh. Ini merupakan cabaran utama kepada usahawan iaitu mengenal pasti peluang yang ada. Peluang mestilah selari dengan kemampuan diri. Iaitu kemampuan untuk mengendalikan perniagaan secara berterusan dan berkekalan dalam sektor yang diceburi. Antara ciri-ciri yang menentukan kemampuan seseorang usahawan adalah keilmuan, kemahiran, minat, sumber kewangan, tenaga, teknologi dan peralatan. Peluang tidak boleh disamakan dengan tabiat suka mengikut.


http://en.wikipedia.org/wiki/Marshall_McLuhan#The_global_village
http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=896.
http://jomseminar-perniagaan-internet-boleh.blogspot.com/2009/12/online-bachelor-degree.html

Thursday, January 21, 2010

Sejauhmanakan Teknologi Sekarang Memberi Kesan Kepada Belia Terhadap Kehidupan Sosial Mereka?


Teknologi komunikasi selalu mengalami perkembangan dari tahun ke tahun. Dengan kemunculan videophone dewasa ini memampukan kita dapat berkomunikasi dengan melihat wajah lawan bicara dan penggunaan internet kini membolehkan kita memiliki jaringan global ke seluruh dunia. Ketika kita mengamati realita yang ada dalam kehidupan kita saat ini, maka kita akan menyedari bahawa teknologi adalah lebih dari sahabat dalam kehidupan kita. Teknologi seperti teman yang selalu menemani kita dan memberikan kemudahan kepada kita dalam segala aspek. Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi komunikasi yang saban hari semakin canggih ini berguna dan banyak membantu dalam kehidupan seharian kita, namun persoalannya adakah teknologi ini hanya memberi kesan yang baik sahaja kepada generasi manusia terutamanya golongan belia yang dikatakan pewaris pemangkin kepada tamadun manusia? Persoalannya, sejauhmanakah teknologi sekarang ini memberi kesan kepada belia terhadap kehidupan sosial mereka?

Hasil penerokaan dalam teknologi moden hari ini telah memberi kemudahan terhadap manusia untuk berhubung dan menyebarkan maklumat dengan pantas dan mudah ke seluruh dunia. Bagi belia pula, alatan komunikasi yang canggih menjadi satu kemestian dan asset penting dalam kehidupan mereka. Tanpa alatan canggih ini, hidup diibaratkan seperti dilangit berterbangan tanpa arah tujuan. Ini adalah hasil globalisasi dan modenisasi yang dikatakan memberikan dampak yang besar kepada kehidupan sosial belia sekarang.

Perkembangan pesat teknologi komunikasi adalah pendukung utama bagi terselenggaranya globalisasi. Dengan adanya teknologi komunikasi, informasi dapat disebarkan dengan mudah dan cepat sehingga ia dapat mempengaruhi pandangan dan gaya hidup budaya suatu bangsa. Oleh itu golongan belia perlu menyiapkan diri dengan pelbagai jenis pengetahuan dan kemahiran supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan arus peredaran teknologi sekarang kerana maklumat dan berita yang disalurkan melalui teknologi komunikasi ini boleh mempengaruhi pemikiran belia dari segi positif dan negatif.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Hanris Interactive tentang bagaimana teknologi moden membawa impak kepada belia, mendapati bahawa belia menggunakan pelbagai mode komunikasi dalam konteks sosial yang berlainan. Semasa belia ingin menyatakan sesuatu perkara yang penting, belia cenderung untuk menggunakan telefon bimbit (34%) dan ‘landline phones’ (23%) , meminta maaf daripada kawan melalui telefon bimbit (22%), landline phones (9.1%) dan berpisah dengan seseorang melalui telefon bimbit ( 14%). Beliau juga rasa selesa untuk membincang hal-hal yang menyentuh perasaan dengan menggunakan ‘instant messaging (29%) , sms (11.1%) dan social networking website (10%). Data-data tersebut menunjukkan teknologi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan sosial seseorang remaja.

Kebaikan Teknologi Mempengaruhi Sosial Belia

Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara belia. Belia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar belia membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum.

Belia pada masa kini sangat berpotensi serta mempunyai bakat semula jadi. Tenaga kerja para belia diperlukan oleh kerajaan bagi sama-sama membantu memperkembangkan ekonomi negara. Para belia yang cekap dan kreatif dalam hal pengurusan dan pengusahaan amat membantu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara. Para belia mengetengahkan bakat dan kekreatifan mereka melalui teknologi komunikasi. Dengan wujudnya alat telekomunikasi yang semakin canggih kini, belia seharusnya merebut peluang untuk memahirkan diri mereka dalam bidang teknologi infokomunikasi (ICT).
Media sosial yang dicetuskan melalui revolusi Internet merupakan tarikan baru generasi muda. Revolusi baru itu kini menjadi satu budaya kepada generasi muda untuk berkomunikasi.

Keburukan Teknologi Mempengaruhi Sosial Belia

Dalam menghadapi zaman yang serba canggih ini, masyarakat kita mengharungi pelbagai masalah dan satu daripada masalah tersebut ialah masalah sosial seperti berleluasanya kes kecurian, rogol, penipuan, keganasan dan lain-lain lagi. Dengan evolusi dari segi teknologi, wujud pula masalah sosial yang baru seperti masalah siber iaitu penyalahgunaan teknologi terutamanya dalam kalangan remaja. Dalam zaman sekarang, adalah perkara biasa untuk setiap belia memiliki alat-alat teknologi seperti Ipod, PDA dan telefon bimbit. Siaran pelbagai media kini boleh didapati di alat-alat tersebut melalui internet dan rangkaian komunikasi tanpa wayar.

Hal ini membolehkan belia kini melibatkan diri mereka dalam siaran media berbentuk podcasting, vodcasting dan blog peribadi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan teknologi merupakan satu fenomena yang baik sehingga kita didorong untuk mempercayai bahawa teknologi yang lebih canggih dan superior akan membawa kebaikan kepada kita dalam aspek-aspek tertentu. Perlulah diingatkan bahawa walaupun teknologi mempunyai pelbagai aspek yang positif, ia juga boleh menjadi sesuatu yang bahaya. Buktinya, teknologi merupakan satu peralatan yang baik tetapi disalahgunakan oleh sesetengah belia sehingga membawa kepada pelbagai masalah sosial. Sebagai contoh, perkembangan teknologi moden seperti komputer, internet, e-mail dan video memudahkan remaja mendapatkan informasi yang berguna dan pada masa yang sama memudahkan mereka mendapat bahan hiburan yang tidak bersesuaian dengan mereka seperti gambar- gambar lucah.

Walaupun teknologi komunikasi sekarang banyak memberi kebaikan kepada belia, namun kita tidak boleh memandang enteng pada kebukuran yang timbul kesan perkembangan teknologi komunikasi ini.Hal ini kerana perkembangan teknologi komunikasi ini juga dapat memberikan kesan yang negatif kepada masyarakat terutamannya golongan belia.
Tidak dapat di nafikan golongan belia adalah golongan yang banyak terlibat dengan gejala yang tidak sihat kesan perkembangan teknologi komunikasi kini. Hal ini kerana golongan belia adalah golongan yang senang terpengaruh dan dipengaruhi. Mereka amat taksub dengan segala perkara baru berkaitan teknologi kini. Ini dapat dibuktikan dengan gejala jenayah siber yang dipelopori oleh golongan belia. Golongan ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang pakar dalam mengakses setiap bahan yang ada. Kesilapan mengakses bahan boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Contohnya, seperti mengakses bahan-bahan lucah yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada minda belia. Pertumbuhan ekonomi sudah tentu akan terencat seandainya belia remaja dan muda tidak dapat meneruskan dan mengekalkan kejayaan yang sedang dicapai dan seterusnya mencipta kemajuan di masa akan datang.

Golongan belia yang dilanda demam internet mungkin melupakan corak kehidupan yang perlu dilaksanakan. Mereka akan mengabaikan produktiviti kerja semata-mata untuk menyelami maklumat yang tiada batasan. Keadaan ini secara tidak langsung akan merengangkan hubungan sesama manusia. Selain itu, perkembangan teknologi juga telah mengubah cara golongan belia berpakaian. Jika kita perhatian, pakaian golongan muda mudi sekarang amat memalukan dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat Malaysia. Mereka terlalu ghairah mengikut budaya asing yang dianggap maju dan moden. Mereka terlalu takut dan ego untuk dikatakan ketingalan zaman, kuno dan berfikiran sempit. Oleh itu, mereka hanya mengikut dan meniru cara berpakaian masyarakat barat tanpa memikirkan kesan yang akan timbul akibat perbuatan mereka.

Internet membawa nilai-nilai hidup luaran yang tidak diingini di negara ini. Nilai-nilai pengaulan seks yang bebas, sikap-sikap metalistik dan lain-lain nilai yang negatif yang sebelumnya disebarkan oleh media lama, kini digantikan pula dengan media yang juah lebih pantas dan murah. Remaja mudah terpengaruh terhadap perkara baru dan “trendy” misalnya mewarnakan rambut, memakai anting-anting atau tatu bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat serius iaitu pengambilan minuman keras, narkotik dan pergaulan bebas. Zaman ini golongan wanita Melayu Islam gemar memakai skirt pendek, seluar pendek atau memadankan tubuh dengan bikini dan bertanding dalam peraduan ratu cantik di khayalak ramai hasil daripada kemajuan teknologi dalam berfesyen.

Dunia dilihat seakan tidak mempunyai sebarang penghadang bagi membatasi pergerakan dan perlakuan belia. Kehidupan semakin canggih dan kelihatan hebat, namun hakikatnya, ramai lagi yang mengalami ‘kekosongan’ jiwa dari segi sifat-sifat dan adab kesantunan yang sepatutnya sejajar dengan ´kecanggihan dan kehebatan´ tersebut. Majalah Times pada 3 Julai 1995 mendedahkan bahawa 83.5% peratus imej atau gambar yang didapati dalam dunia siber ialah pornografi. Dengan munculnya televisyen satelit dan internet, anak-anak muda akan terdedah kepada nilai-nilai hidup yang kurang sihat.

Pada pendapat ahli kumpulan kami, ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar agar mereka menjadi masyarakat yang berguna dan aspirasi negara dapat dicapai. Tiada jawapan yang konsisten sama ada kewujudan teknologi akan membawa perubahan yang positif atau negatif ke atas gaya hidup remaja. Cabaran yang perlu dihadapi ialah pendidikan untuk penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan mengelakkan salah guna dalam kalangan remaja.


Rujukan:

http://satuqiblah.blogspot.com/2009/11/dunia-internet-pengaruhi-sahsiah-remaja.html